Prestasi Malaysia merosot, jatuh tujuh tangga dalam Ranking Daya Saing Dunia 2022

Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON

Prestasi Malaysia merosot dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2022.

Hasil kajian Pusat Daya Saing Dunia (WCC) mendapati, negara jatuh tujuh tangga di kedudukan ke-32 berbanding kedudukan ke-25 pada 2021.

Menurut WCC IMD, Thailand berada di tangga ke-33 kali ini berbanding ke-28 pada 2021.

Manakala Indonesia di kedudukan ke-44 berbanding di kedudukan ke-37 pada tahun lalu.

Kedua-dua negara dilapor mengalami penurunan prestasi berikutan pembukaan semula ekonomi yang perlahan pasca Covid-19 berbanding dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).

Memetik Bernama, rantau Asia juga menyaksikan kedudukan China turun satu tangga kepada 17 daripada 16.Bagaimanapun, China masih mendahului ekonomi Asia-Pasifik (APAC) bersama Singapura (ketiga), Hong Kong (kelima) dan Taiwan (ketujuh).

Singapura mencapai kedudukan ketiga, naik dari kedudukan kelima, sekali gus berada di tangga teratasnya di rantau APAC.

Menurut WCC IMD, India mencatatkan peningkatan ketara dalam kalangan ekonomi Asia, berada di kedudukan ke-37 berbanding ke-43 sebelum ini.

Kedudukannya melonjak enam tangga selepas empat tahun mengalami prestasi tidak berubah.

Ini didorong terutama oleh lonjakan yang dicatatkan India dari segi prestasi ekonomi dan kecekapan perniagaan.

Sementara itu, Denmark, sebagai negara paling maju dari segi digital di dunia, mencapai kedudukan teratas buat kali pertama dalam sejarah 34 tahun ranking ini