Malaysia Dateline

Prestasi PH: Kenyataan PM merujuk kepada ‘zon selesa’, kata Mahfuz

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berhubung isu prestasi pentadbiran Pakatan Harapan (PH) adalah, supaya semua jangan berasa selesa dengan apa yang telah dicapai.

Beliau berpendapat, kenyataan Dr Mahathir itu antara lain, adalah untuk menyampaikan mesej bahawa pencapaian bukan setakat itu sahaja, malah harus bekerja untuk mencapai sesuatu yang lebih tinggi.

“Kita tidak seharusnya berpuas hati atas apa yang kita capai.Kalau kita berpuas hati, ia tidak akan memberikan satu motivasi untuk kita bekerja mencapai sesuatu yang lebih membanggakan.

“Kita juga harus bertitik tolak daripada apa yang ada untuk mencapai sesuatu yang lebih besar daripada apa yang kita impikan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Ditanya mengenai cabaran untuk melaksanakan manifesto, Timbalan Menteri Sumber Manusia ini berkata, cabarannya adalah untuk melihat yang mana perlu diberikan keutamaan.

“Keutamaan kita sekarang ini adalah untuk memulihkan ekonomi dan meletakkan negara kita di landasan yang betul.

“Situasinya macam orang baru kahwin.Kita tengok mana nak beli dulu.Nak beli rantai emas untuk isteri ke atau nak beli periuk nasi dulu?

“InsyaAllah semua masalah, yang menjadi impian kita dalam pelaksanaan manifesto akan dapat dicapai,” katanya.

Semalam Dr Mahathir ketika ditanya media berkenaan kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang menzahirkan rasa kecewa dengan prestasi semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PH itu turut berkata beliau juga berasa kecewa.

“Takpalah banyak orang kecewa, saya pun kecewa dengan dia orang.” ujar Dr Mahathir.