Malaysia Dateline

Prestasi skuad senior malapkan pencapaian badminton 2018

Prestasi tidak konsisten pemain senior dalam pelbagai kejohanan antarabangsa pada musim ini memuramkan pencapaian sukan badminton negara.

Namun di sebalik prestasi hambar kalangan atlet senior, sukan badminton tetap mengharumkan nama negara dengan prestasi cemerlang skuad remaja seperti pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei; perseorangan lelaki, Lee Zhi Jia; dan beregu wanita, Pearly Tan-Toh Ee Wei lebih menonjol dengan  menghadirkan kejayaan cemerlang.

Pujian perlu diberikan kepada Jin Wei dengan kejuaraan kali kedua Kejohanan Badminton Remaja Dunia dan pingat emas Sukan Olimpik Belia manakala Zii Jia pula menamatkan kemarau 14 tahun untuk memenangi Terbuka Taiwan pada Oktober lepas.

Beregu remaja perempuan negara, Pearly dan Ee Wei membuktikan mereka adalah pelapis terbaik apabila memenangi pingat perak pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia.

Mengakui prestasi merosot skuad senior, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata beliau berpuas hati dengan prestasi pemain muda yang mula menunjukkan perkembangan positif.

“Pencapaian di peringkat tinggi memang kurang tetapi kita perlu lihat kejayaan di peringkat pelapis yang lebih baik. Tahun ini adalah fokus kepada pembangunan pemain muda. Kalau kita lihat pencapaian mereka terutamanya Zii Jia, Jin Wei mereka mempunyai peluang cerah ke Sukan Olimpik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Badminton adalah nadi sukan negara kerana berdasarkan rekod penyertaan temasya besar, pemain badminton adalah penyelamat dalam mencapai sasaran pingat emas kontinjen negara.

Namun Mohamad Norza menegaskan pihaknya memandang serius prestasi merosot pemain senior kerana penampilan musim depan sangat penting dalam misi meraih slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Walaupun prestasi kurang memberangsangkan pemain senior, dua wakil beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Lai layak beraksi pada  Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF 2018 pada 12-16 Dis di Guangzhou, China.

Namun kedua-dua beregu itu terkandas dalam perlawanan peringkat kumpulan.

Pencapaian terbaik Peng Soon-Liu Ying tahun ini adalah menjuarai Terbuka Amerika Syarikat dan Thailand Master selain muncul naib juara Terbuka Indonesia dan naib juara Terbuka Australia. Manakala  gandingan Soon Huat-Shevon pula menjuarai Terbuka Singapura dan Terbuka Jerman.

Namun nasib berbeza bagi beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Rio, 2016 kerana tidak dapat mengulangi rentak permainan mengagumkan apabila gagal meraih sebarang kejuaraan antarabangsa tahun ini. Pencapaian terbaik hanya muncul naib juara Malaysia Masters.

Gandingan V Shem-Wee Kiong, yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, terpaksa berpuas hati dengan pencapaian pingat gangsa di Sukan Komanwel kali ini di Gold Coast pada April lepas.

Maruah negara dalam sukan badminton di Gold Coast diubati dengan dua pingat emas yang diraih menerusi jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Vivian Khoo serta pingat perak dalam acara berpasukan.

Namun pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang, skuad badminton gagal menyumbang pingat emas berikutan terkesan daripada penarikan diri Chong Wei pada September lepas atas alasan faktor kesihatan.

Pelbagai desas-desus mengenai bekas pemain nombor satu dunia itu menjadi viral dalam media sosial ekoran tindakan Chong Wei mendiamkan diri dan melarikan diri daripada pihak media.

Sebulan selepas itu, arena sukan negara menjadi gempar dengan laporan berita Chong Wei disahkan menghidap kanser hidung tahap satu selepas beliau beraksi pada Kejohanan Terbuka Indonesia.

Ekoran itu Chong Wei telah mengambil keputusan menarik diri daripada menyertai Kejohanan Badminton Dunia dan Sukan Asia kerana perlu menjalani rawatan di Taiwan hampir empat bulan dan kini beliau disahkan bebas kanser.

Sebelum diuji dengan dugaan itu, Chong Wei mempamerkan konsistensi dalam sukan yang menjadi darah dagingnya, antaranya mengekalkan pingat emas Sukan Komanwel dan merekodkan kemenangan ke-12 dalam Terbuka Malaysia.

Arena sukan badminton negara turut dicemari dengan kes mengatur perlawanan melibatkan bekas juara remaja dunia Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Sean. Kedua-dua mereka kini adalah pemain profesional.

Zulfadli dan Chun Sean masing-masing dijatuhi hukuman gantung 20 tahun dan 15 tahun daripada terlibat dengan sebarang aktiviti melibatkan sukan badminton.

Hukuman itu boleh dianggap memusnahkan terus karier kedua-dua pemain itu dalam badminton.

— BERNAMA