Prinsip agihan kerusi: Formula terbaik PH-Bersatu tambah kerusi

Prinsip agihan kerusi: Formula terbaik PH-Bersatu tambah kerusi

 Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah) Mohd Anuar Tahir berpandangan, rundingan agihan kerusi Pakatan Harapan pusingan pertama yang dibentangkan semalam, adalah formula yang terbaik untuk pakatan pembangkang.

Beliau berkata, kesediaan semua parti terdiri dari PKR, DAP dan Amanah untuk mempertahankan kerusi yang pernah ditandingi pada  Pilihan Raya Umum ke-13 lalu akan dapat disepakati bersama.

“Pusingan pertama semalam Pakatan Harapan mengemukakan proposal parti masing-masing dan kawasan yang bakal mereka tandingi pada PRU14.

“Prinsipnya dalam pembahagian kerusi ini kelak Pakatan Harapan  dan Bersatu pertahankan kawasan yang pernah dimenangi dalam PRU13 lalu, tidak timbul lagilah bagi kami soal perebutan kerusi,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Ditanya bagaimana dengan kerusi yang mungkin diberikan kepada Bersatu  terutama bagi kawasan pengundi Melayu yang menjadi sasaran parti serpihan Umno itu, Anuar berkata Bersatu boleh meletakkan calon di kerusi BN atau Pas.

“Bersatu boleh letak calon di kawasan yang dipegang BN dan kawasan tidak dipegang tiga parti ini (PKR-DAP-Amanah) kita akan bincang siapa yang akan duduk di mana.

“Siapa yang punya peluang paling cerah untuk kalahkan BN akan menduduki kerusi itu.

“Kita akan sepakati begitu yang  mana kita berharap tiada kepentingan peribadi atau kepentingan Pas mengatasi objektif utama untuk membentuk kerajaan baharu dalam pilihan raya akan datang, Ini adalah formula terbaik untuk pembangkang.

“Kita tahu bahawa Pas cuba nak ajak orang lain (Bersatu) untuk masuk kepada blok pakatan pembangkang ketiga.

“Janganlah mengharap guruh di langit air di tempayan di curah,” ujarnya

Katanya lagi, pusingan pertama rundingan pembahagian itu sudah mencapai kata sepakat, setiakawan dan perjuangan bersama dalam
Pakatan Harapan.

“Pembahagian kerusi antara PKR,DAP dan Amanah sudah 90 peratus selesai dan menunggu Bersatu pula menyatakan proposal mereka,” ujarnya.

Justeru katanya, dengan keengganan Pas menyertai Pakatan Harapan pertandingan tiga penjuru pasti berlaku dalam PRU 14 kelak.

“Tiga penjuru bukan baru berlaku. Tiap kali pilihan raya pasti ada tiga penjuru,  macam sudah menjadi ‘hukum alam’.

“Tetapi kali ini dengan formula Pakatan Harapan dan Bersatu diyakini akan dapat menambah kerusi pembangkang,” ujarnya.

Semalam dilaporkan pusingan pertama mesyuarat agihan kerusi tanpa kehadiran wakil Bersatu kerana parti itu masih belum mengenal pasti kerusi yang mahu ditandinginya.

Namun Timbalan Presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini dilaporkan berkata, Bersatu telah menyediakan penyelidikannya sendiri mengenai pembahagian kerusi, yang akan dibincangkan dengan parti komponen dalam Pakatan Harapan.

Mesyuarat itu tidak melibatkan Pas, yang telah berkeras bahawa ia tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah.

Manakala Pas pula dijangka akan membuat keputusan mengenai hubungannya dengan PKR dalam muktamar parti itu yang akan diadakan pada April depan.

COMMENTS

Wordpress (0)