Prinsip hidup manusia mesti adil dan saksama, kata Anwar

Prinsip hidup manusia mesti adil dan saksama, kata Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan MenteriBesar Amiruddin Saari bergambar bersama beberapa pimpinan parti selepas majlis Pidato Pembinaan Bangsa Malaysia anjuran Ide Selangor malam tadi.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan prinsip hidup manusia mestilah berasaskan kepada keadilan dan kesaksamaan serta perlu membantu antara satu sama lain.

Beliau berkata, makna Islam itu tidak akan memberi ‘bekas’ kepada seseorang manusia sekiranya prinsip-prinsip tersebut tidak ada dalam diri mereka.

Mengambil contoh Universiti Selangor (Unisel), Anwar berkata, universiti berkenaan antara penyebab kepada kontroversi besar politik negeri Selangor di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Ceritanya, ada sekitar 200 anak-anak yang dinafikan hak mereka untuk mengambil peperiksaan kerana tidak cukup wang untuk belajar. Terdapat 80 peratus Melayu dan 20 peratus India.

“Yang India itu adalah anak-anak pekerja ladang dan tukang kebun. Bangsa Melayu pula adalah anak-anak cikgu sekolah rendah, pekebun dan petani.

“Pada ketika itu, saya memegang jawatan Ketua Umum PKR dan saya tak boleh terima perkara (masalah) itu. Saya nasihatkan Menteri Besar Selangor supaya menyelesaikan hal berkenaan.

“Jadi, ini bermakna sesiapa sahaja yang masuk dalam kategori miskin, kita tolong semua. Apakah kerana menolong 20 peratus India, kita dah hilang Melayu kita? soalnya ketika menyampaikan Pidato Pembinaan Bangsa Malaysia, di Seminar Nasional Hidup Bersama Dalam Kepelbagaian: Pembinaan Bangsa dan Budaya Damai, di Hotel Concorde, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar dan Timbalan Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Ustaz Abdul Ghani Samsudin.

Dalam sesi pidato tersebut, Anwar turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mendakwanya berfahaman liberal apabila beliau juga memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina dan India.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, perjuangan itu dilakukannya bertujuan untuk membantu setiap golongan masyarakat yang layak dibantu.

“Saya berjiwa Melayu, tetapi memegang prinsip membantu rakyat tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.