Malaysia Dateline

Prinsip Islam: Pas-Umno perlu bekerjasama, kata DPPM

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi

Pas menegaskan sebagai sebuah parti yang mendukung dan memperjuangkan prinsip Islam, parti itu bersedia bekerjsama dengan sesiapa sahaja demi mempertahankan Islam.

Demikian itu, hubungan antara Pas dan Umno ketika ini adalah kerjasama antara dua parti pembangkang yang sepentas memperjuangkan isu-isu semasa di peringkat nasional khususnya melibatkan kedudukan Islam dan hak orang Melayu dan Bumiputera.

Menurut Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Muhammad Khalil Abdul Hadi, walaupun Pas dan Umno berbeza tetapi atas dasar prinsip untuk menyelamatkan kedudukan Islam dan bangsa Melayu, kedua-dua parti ini perlu bekerjasama.

“Kita sebut Pas adalah Pas, Umno adalah Umno, tapi kita boleh bersama dalam soal-soal yang berkait dengan dasar dan prinsip.

“Kita orang Pasorang Islam, orang Umno orang Islam, maka kita mestilah bersama-sama dalam perkara berkait dengan prinsip untuk mempertahankan Islam dan hak-hak Melayu dan Bumiputera di negara kita,” katanya dalam satu forum Chit-Chat Ubi Kayu Cicoh Nyor yang berlangsung di hadapan pasar Batu Enam, Kuala Nerus, pad Selasa, yang dimuat naik dalam laman Facebook beliau seperti dipetik portal parti itu Harakahdaily.net semalam.

Beliau yang dijemput sebagai panel forum tersebut menerangkan timbul kebimbangan dalam kalangan umat Islam di negara ini mengenai masa depan negara yang samar-samar dan kedudukan Islam setelah Pakatan Harapan mengambil alih tampuk memerintah negara.

Ujarnya, bibit kesatuan umat Islam tanpa mengira perbezaan parti amat perlu selepas timbul suasana politik pada hari ini yang masih tidak menentu dan berkecamuk tambahan pula kebimbangan rakyat negara ini mengenai kestabilan ekonomi, pendidikan dan paling penting kedudukan agama Islam.

“Pas dan Umno boleh berbeza tetapi dari sudut prinsip Islam kita mesti bersama melalui platform ICERD dan insya-Allah kita akan bergerak dengan platform yang lain melalui isu-isu yang sedang berlaku dan bakal berlaku,” ujarnya lagi.