Malaysia Dateline

Prinsip keadilan jamin mengangkat taraf hidup masyarakat miskin

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan prinsip keadilan dan kedamaian perlu diterapkan supaya taraf hidup masyarakat rencam kaum yang miskin di negara ini, dapat diangkat.

“Soalnya, mengapa sekarang ini nampak wacana soal perkauman itu kian menghangat?

“Saya membicarakan kerana apabila orang politik itu berkuasa, kecenderungannya itu adalah mempamerkan kekayaan, merompak, kemudian sekarang ini menggunakan isu kaum untuk menarik minat dalam kalangan miskin di bawah.

“Jadi, mereka ini sentiasa diperalatkan dan kekal miskin. Bagi saya, prinsipnya mestilah kedamaian dan keadilan. Keadilan menjamin mengangkat taraf hidup mereka, dan bukannya pemimpin-pemimpin mereka yang kaya.

“Dengan cara sedemikian, majoriti rakyat yang miskin yang terdiri daripada orang Melayu dan beberapa kelompok India estet dan Cina di pinggir bandar serta Dayak dan Kadazan, akan lebih terjamin jika penekanan kita itu adalah keadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas dengan lebih lanjut tentang ideologi Fasisme dalam konteks Malaysia.

Ahli Parlimen Port Dickson itu ditemui pada Majlis Persidangan Serantau Hidup Bersama Dalam Budaya Damai 2020 di sebuah hotel di Shah Alam, hari ini.

Persidangan Serantau Hidup Bersama Dalam Budaya Damai 2020 di sebuah hotel di Shah Alam, hari ini.

Majlis persidangan selama dua hari yang dianjurkan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) itu, menghimpunkan ahli-ahli panel dari Asia Tenggara, membincangkan topik berkaitan budaya kedamaian.

Dalam perkembangan berbeza, ditanya tentang kewajaran pelucutan taraf warganegara bekas Adun Pujut, Dr Ting Tiong Choo, Anwar menyifatkan Dr Ting sudah membuat pilihan.

“Beliau (Dr Ting) telah memilih untuk menjadi warganegara Malaysia. Dia dah pilih Malaysia, kita terimalah,” jawabnya ringkas.

Semalam, BH melaporkan Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak membuat keputusan betul dalam melucutkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Adun Pujut berhubung statusnya memiliki dua kewarganegaraan.

Ia membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 7-2, dan memetik Perkara 19 Perlembagaan Sarawak dan Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan bahawa Dun mempunyai kata putus dalam perkara seumpama itu dan prosiding Dun tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat mempengerusikan panel sembilan hakim.

Dr Ting dari DAP dilucutkan kelayakan sebagai ADUN pada 12 Mei, 2017, kerana memiliki dua kewarganegaraan iaitu Australia dan Malaysia susulan usul dibentangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Sarawak pada ketika itu Datuk Seri Wong Soon Koh.