Malaysia Dateline

PRK Cameron Highland bermula, 31,639 pengundi layak mengundi

Penentuan siapa yang bakal dipilih pengundi untuk menjadi wakil rakyat P.078 Cameron Highland akan ditentukan pada hari ini

Seramai 31,639 pengundi yang layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Cameron Highland yang bermula pada hari ini.

Sebanyak 29 pusat mengundi akan dibuka pada jam 8 pagi ini yang membabitkan 17 pusat mengundi di Dun Tanah Rata dan 12 pusat mengundi di Dun Jelai.

Sebanyak 110 pengundi telah membuat pengundian awal pada 22 Januari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan mengumumkan keputusan penuh PRK Cameron Highlands selewat-lewatnya jam 10 malam.

SPR turut menjangkakan peratusan keluar mengundi adalah sekitar 70 peratus pada hari ini.

PRK Cameron Highlands hari ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon PH, Manogaran, Calon BN diwakili Ramli Mohd Nor manakala dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh dari BN pada Pilihan Raya Umum ke-14, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.