Malaysia Dateline

PRK Cameron Highlands 26 Januari

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands akan diadakan pada 26 Jan 2019.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata hari penamaan calon diadakan pada 12 Januari, manakala hari mengundi awal pada 22 Januari.

“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari, bermula pada hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam 25 Januari 2019,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat urusan PRK Cameron Highlands, di Putrajaya, hari ini.

Azhar berkata daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK tersebut adalah sehingga suku ketiga 2018 yang mengandungi 32,009 pemilih berdaftar terdiri daripada 31,750 pengundi biasa, pengundi awal (247), pengundi tidak hadir luar negara (12).

“Bagi PRK ini, SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 32,009 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang telah dikemaskini pada November lalu.

“Hari mengundi awal pula ditetapkan pada 22 Januari dengan tempoh berkempen selama 14 hari” katanya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof pada Isnin lalu mengesahkan kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah kosong dan PRK bagi kawasan itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Pengesahan itu dibuat selepas Mohamad Ariff menerima menerima makluman daripada SPR bahawa penyandangnya sebelum ini, Datuk C. Sivarraajh gagal mengemukakan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.

Pada PRU-14, Sivarraajh yang juga merupakan Naib Presiden MIC menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands yang melibatkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dari PKR yang memperoleh 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd. Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B. Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).