PRK Cameron Highlands bukti demokrasi subur, PH perlu tangani dengan baik

PRK Cameron Highlands bukti demokrasi subur, PH perlu tangani dengan baik

Kemenangan kerusi Parlimen Cameron Highlands oleh BN semalam amat menarik perhatian kerana ia membuktikan wujudnya demokrasi di bawah pemerintahan kerajaan PH.

Demikian dinyatakan oleh Naib Ketua Pemuda II, Pemuda AMANAH Pulau Pinang, Azrul Mahathir Aziz.

Menurut beliau lagi, senario politik menarik yang dapat diperhatikan ialah pilihan raya kecil (PRK) kali ini telah berjaya mengekalkan kemenangan yang diperolehi BN sebelum ini.

Malah katanya, ia amat berbeza dengan PRK sebelum ini yang mana ia tidak berpihak kepada pembangkang.

“Senario demokrasi jelas terpancar apabila pembangkang menang menewaskan calon parti pemerintah.

“Secara jelasnya ia membuktikan demokrasi telah disuburkan oleh PH serta tidak seperti zaman BN semasa memegang tampuk pemerintahan terdahulu.

“Semasa BN menerajui kepimpinan kerajaan, apabila adanya PRK maupun PRU segala kekuatan agensi kerajaan dan media diguna dengan begitu rakus,” tegas beliau.

Namun begitu ujarnya, PH sedaya upaya cuba melaksanakan demokrasi secara subur walaupun telah menjadi kebiasaan bagi BN yang mengerahkan segala jentera kerajaan sebelum ini.

“Signifikan demokrasi yang telah diputuskan oleh pengundi Cameron Highlands perlu diberi perhatian dan pendirian secara hisbah perlu diambil oleh pimpinan PH di peringkat negeri maupun pusat.

“Masih belum terlambat bagi ketua-ketua pimpinan kerajaan negeri dan pusat agar lebih prihatin kepada harapan yang dipertaruhkan oleh rakyat dan bukannya harapan pimpinan semata-mata.

“Mesej yang jelas diberikan ialah usaha kerajaan PH untuk menangani masalah ekonomi negara, sebolehnya tidak mengheret rakyat untuk sama-sama bertarung,” jelasnya.

Azrul yang juga merupakan Adun Bayan Lepas turut berkata, seharusnya kerajaan PH menggunakan segala kepakaran dan akses yang ada tanpa mengusik rakyat, apatah lagi mengusik apa yang pernah mereka nikmati pelbagai kemudahan sebelum ini.

Tambah beliau lagi, kebijaksanaan pimpinan kerajaan untuk menangani pelbagai isu semasa amat kritikal dan memerlukan kesungguhan kerana rakyat masih lagi menaruh harapan penuh agar PH terus memacu negara dengan meneruskan agenda kebajikan kepada rakyat.

Sejajar dengan itu saran beliau, kesepakatan pimpinan PH amat perlu dimantapkan lagi supaya aspirasi rakyat untuk mendapat pembelaan yang sewajarnya menjadi realiti sepertimana mandat yang diberikan dalam PRU ke 14 Mei yang lalu.