PRK Cameron Highlands: Dakwaan Mat Sabu guna aset ATM dinafikan Kementerian Pertahanan

PRK Cameron Highlands: Dakwaan Mat Sabu guna aset ATM  dinafikan Kementerian Pertahanan

Tular dua keping gambar di media sosoal yang mendakwa Menteri Pertahanan mengunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands baru-baru ini, adalah tidak benar sama sekali.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan, lewat malam tadi, menjelaskan gambar pertama yang memaparkan  Mohamad Sabu berjalan dengan berlatarbelakangkan helikopter berlaku ketika lawatan rasmi beliau sebagai Menteri Pertahanan ke Kem Slim, Cameron Highlands pada Rabu, 9 Januari 2019.

“Beliau telah pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama selepas selesai lawatan. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, lawatan rasmi tersebut tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kerana kesemua anggota tentera di Kem Slim tersebut adalah pengundi di Parlimen Sungai Petani, Kedah dan bukannya di Parlimen Cameron Highlands,” ujar kenyataan itu.

Dua gambar yang menjadi tular di laman sosial mendakwa Mohamad Sabu menaiki helikopter milik ATM untuk hadir di hari penamaan calon Pakatan Harapan pada PRK Cameron Highlands Sabtu lepas.

Manakala gambar kedua yang memaparkan beliau hadir pada hari penamaan calon PRK Cameron Highlands adalah pada hari Sabtu, 12 Januari 2019.

“Mohamad telah bertolak ke Cameron Highlands pada 11 Januari adalah
menggunakan jalan darat dengan menaiki kenderaan persendirian dan pulang ke Kuala Lumpur selepas selesai penamaan calon.

“Adalah jelas sekali bahawa kedua-dua gambar tersebut adalah pada hari dan tarikh yang berlainan,” ujar kenyataan itu lagi.

Justeru Kementerian Pertahanan meminta agar pihak-pihak tertentu memeriksa terlebih dahulu untuk kesahihan maklumat sebelum menyebarkan perkara yang tidak benar.