PRK Cameron Highlands: Hadi seru pengundi bukan Islam tidak takut sokong calon Melayu Islam

PRK Cameron Highlands: Hadi seru pengundi bukan Islam tidak takut sokong calon  Melayu Islam

Pengundi bukan Islam tidak perlu takut untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands pada 26 Januari ini, kata Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang,

Beliau berkata, demikian ketika berucap dalam ceramah kempen calon BN di Dataran Felda Sungai Koyan 1 malam tadi.

Katanya, tanggungjawab pengundi bukan Islam adalah untuk menyokong calon orang Islam  untuk memimpin mereka.

“Dalam negara kita ini politiknya mesti orang Islam dan orang Melayu Bumiputera beragama Islam mesti memimpin.

“PRK menjadi ujian kepada pengundi-pengundi.

“Besar harapan kami, lupakan perbalahan ajak bukan Islam beri kepercayaan kepada wakil (calon) daripada orang Islam.

“Orang bukan Islam jangan takut.Kita telah mencapai kemerdekaan lebih daripada setengah abad dan kita telah memberikan semua hak kepada bukan Islam.

“Hak yang kita berikan kepada orang bukan Islam di sini tidak diberikan kepada orang bukan Islam di negara lain.

“Di Indonesia, Singapura dan Thailand, mereka tidak mempunyai sekolah vernakular walaupun mereka mempunyai penduduk Cina dan India. Tetapi di Malaysia, kita memberi mereka hak untuk mempunyai sekolah-sekolah vernakular ini, “katanya.

Hadi turut berkata bahawa Islam mengajar umatnya untuk memberikan hak kepada bukan Islam.

“Islam suruh kita beri hak mereka. Saksikan bagaimana minoriti bukan Islam hidup di negeri majoriti orang Islam.

“Badningkan orang Ughur di negeri China menjadi golongan minoriti..ini hak yang diberi oleh Islam sepatutnya mereka mengenang jasa dan budi ini.

“Rakyat khususnya orang Melayu Islam perlu menolak parti yang tidak kenang budi, termasuk dikalangna orang bukan Islam yang dipimpin parti yang tidak mengenang budi ini,” ujarnya.

Beliau juga menggesa penduduk setempat untuk keluar dan memenuhi tanggungjawab mereka mengundi dalam pilihan raya kecil itu.

Hadi berkempen untuk calon BN Ramli Mohd Noor dalam PRK Cameron Highlands.

Turut hadir semasa ceramah ialah Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ramli.

Ramli akan menentang calon Pakatan Harapan M. Manogaran dan dua calon bebas Sallehudin Ab Talib, pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki Genting Highlands, dan Wong Seng Yee, seorang petani dan aktivis tempatan.