PRK Cameron Highlands: Mufti tidak harus keluar kenyataan berbaur politik

PRK Cameron Highlands: Mufti tidak harus keluar kenyataan berbaur politik

Golongan agamawan dan institusi Islam tidak harus terlibat dalam kempen pilihan raya dengan mengeluarkan kenyataan yang dilihat menyebelahi mana-mana blok politik.

Ahli Parlimen Temerloh, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, prinsip itu perlu dipelihara bagi kepentingan ketenteraman masyarakat merentas fahaman politik kepartian.

“Semua ini mesti dijaga dengan baik dan jangan digunakan oleh mana-mana pihak untuk menyalahgunakan institusi Islam kerana akan mendatangkan keraguan kepada rakyat bahawa mereka itu tidak objektif.

“Penguasa agama jangan dilihat menyebelahi mana-mana pihak kerana dibimbangi akan menghilangkan kehormatan rakyat kepada institusi agama yang sangat kita sayangi,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline di Kuala Medang, Lipis hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengisian ceramah Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman di saluran radio RTM Pahang FM semalam yang menekankan tentang orang kafir tidak boleh memimpin orang Islam.

Dalam slot lewat petang menjelang waktu Maghrib itu, Dr Abdul Rahman berkata, pemimpin mestilah daripada orang Islam.

Tanpa menyebut nama mana-mana parti atau blok politik, beliau berpendapat pemimpin bukan beragama Islam lebih bertindak demi kepentingan kaum dan agama mereka.

“Jangan kita takut. Kita kena ambil perhatian. Kita mahu Malaysia ini dicorakkan dengan Islam sebagai agama Persekutuan. Kita tidak boleh main-main.

“Kalau orang Islam apabila dilantik, dia kena buat sesuatu kerana Allah. Kalau orang lain (bukan beragama Islam), dia bukan (buat sesuatu) kerana Allah, (tapi) kita tengok kepada kepentingan kaum dan agama dia,” dakwanya.

Ceramah yang sempat didengari Malaysia Dateline antara jam 6.30 petang dan berakhir 7.10 malam itu turut mendapati Dr. Abdul Rahman bertegas tentang penganut Kristian dan Yahudi yang mencorakkan dunia ini.

“Dunia hari ini dicorakkan orang Kristian dan Yahudi. Tengok pakaian perempuan, pergilah ke mana dunia pun, kalau di Amerika pakai seluar pendek sehingga nampak punggung, misalnya, semua terikut, seolah-olahnya begitulah.

“Mereka ini dipengaruhi dan dicorakkan. Tidak boleh agama-agama lain mengambil alih agama Islam. Itu kita tidak mahu.

“Orang kafir tidak boleh memimpin orang Islam. Dalam syarat-syarat memilih pemimpin, dia boleh menentukan pandangan mana yang terbaik. Kalau pemimpin itu banyak lupa atau sakit misalnya, tidak boleh.

“Kita mahu utamakan agama. Pemimpin mesti dari orang Islam,” tegas Dr Abdul Rahman lagi selain turut menyebut tentang isu tular membabitkan susunan pencahayaan menyerupai lambang salib pada bangunan kediaman di Pulau Pinang.

Anuar Tahir hari ini menemui penduduk Kampung Kuala Medang di Lipis dalam tinjauan di pekan sari (pasar pagi) kawasan majoriti pengundi Melayu itu.

Dipayungi

Mengulas lanjut, Anuar yang juga Setiausaha Agung AMANAH berkata, mufti berkenaan tidak wajar bersikap sebegitu.

“Adalah sesuatu yang sangat malang apabila institusi agama yang dipayungi Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan digunakan untuk tujuan politik.

“Sepatutnya Sahibus Samahah Mufti tidak akan sebarang kenyataan yang berbaur politik semasa tempoh kempen pilihan raya sama ada pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya umum (PRU).

“Saya berharap orang besar agama kita yang memegang kekuasaan berkaitan Islam yang di bawah naungan Sultan bahkan di negeri tidak beraja, Yang di-Pertuan Agong sendiri mengetuainya, mesti bebas dan kelihatan bebas.

“Jangan dilihat memihak kepada mana-mana pihak kerana dibimbangi akan menghilangkan kehormatan rakyat kepada institusi agama yang sangat kita sayangi.

“Kepada siapa nanti rakyat mahu mengadu jika dilihat institusi agama pun tidak menyebelahi kepentingan rakyat secara keseluruhan tetapi kepada kumpujlan tertentu?” soalnya.

Sehubungan itu, Anuar berharap hal tersebut tidak akan berulang lagi memandangkan PH mahukan pertandingan sihat termasuk tidak menyalahgunakan jentera-jentera kerajaan seperti amalan BN sebelum ini.

“Saya beberapa kali melihat pegawai tinggi agama pun menyalahgunakan kuasa mereka. Semoga Allah mengampunkan mereka.

“Rakyat sentiasa bijak untuk menilai apa pun kenyataan mereka walaupun besar mana pun kuasa mereka dalam institusi agama.

“Rakyat yang tidak memiliki pengajian tinggi pun dapat menilai apakah kenyataan seperti itu memihak semata-mata kepentingan diri atau pun mana-mana kumpulan tertentu,” tambah Anuar lagi.

Pakatan Harapan (PH) meletakkan semula bekas calonnya di Parlimen Cameron Highlands dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, M. Manogaran bagi bertanding dalam PRK Parlimen tersebut pada 26 Januari ini.

Dalam persaingan empat penjuru di P078 itu, Manogaran yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pahang dan Bendahari PH Pahang itu menentang calon BN, Ramli Mohd. Nor serta dua calon Bebas iaitu Cikgu Sallehudin Ab. Talib dan Wong Seng Yee.

Calon PH bagi Parlimen Cameron Highlands, Manogaran di pekan sari Kuala Medang pagi tadi.