Malaysia Dateline

PRK Cameron Highlands parti bertanding perlu beri tumpuan pengundi atas pagar

Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands tidak memberi apa-apa kesan kepada parti yang bertanding, sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada usaha memenangi undi kumpulan pengundi atas pagar.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi, dipetik, berkata tempoh berkempen 14 itu tidak lagi menjadi isu kepada mana-mana parti kerana isu yang perlu dibawa akan memberikan kelebihan bagi memenangi kerusi berkenaan.

“Tumpuan kini terarah kepada pengundi atas pagar yang mana bagi calon PH sudah tentu dinilai berdasarkan pencapaian dan kekurangan selepas tujuh bulan mengambil alih kerajaan. Pengundi ini, saya percaya mereka sedar dan sudah dapat menilai pencapaian dan kekurangan PH.

“Perlu difahami bahawa dalam tempoh yang singkat ini, pengundi atas pagar ini sedar kekurangan PH dan rasa tidak puas hati dengan pencapaian kerajaan ini semakin meluas bukan sahaja di bandar tetapi di pinggir bandar dan luar bandar,” katanya.

Katanya lagi, berdasarkan kepada pengumuman tidak rasmi, parti yang ingin bertanding pada PRK kali ini bakal menampilkan muka lama dari MIC dan DAP yang tidak memerlukan tempoh yang lama untuk berkempen kerana sudah dikenali dikalangan pengundi di Cameron Highlands.

“ Jadi, mereka tidak perlu kempen yang lama untuk memperkenalkan diri dengan pengundi.Memadai tempoh 14 hari berkempen kerana ia tidak terlalu pendek atau panjang. Tempoh berkempen tidak beri kesan terus kepada corak pengundian,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya lagi , bagi penyokong tegar BN dan PH, pengundi pastinya akan terus mengundi parti pilihan masing-masing asalkan parti itu dapat menepati apa yang mereka harapkan.

“Ini kerana calon MIC dan DAP sudah dikenali oleh pengundi di kawasan berkenaan. Jika ada perubahan calon pun, saya percaya penggantinya pasti dalam kalangan pemimpin yang dikenali di kawasan berkenaan.”

SPR menetapkan PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari tahun depan manakala penamaan calon ditetapkan pada 12 Januari dan tarikh mengundi awal pada 22 Januari.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dilaporkan berkata, sebanyak 32,009 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemas kini pada November lalu dengan tempoh berkempen selama 14 hari dan kos bagi menjalankan PRK ini sebanyak RM3.5 juta.