PRK Cameron Highlands ujian Najib untuk bangkit semula, kata Kit Siang

PRK Cameron Highlands ujian Najib untuk bangkit semula, kata Kit Siang
Lim Kit Siang

Penasihat DAP, Lim Kit Siang percaya Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands merupakan satu ujian untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat kebangkitan semula dalam politik.

Menurutnya, ini jelas kelihatan apabila Najib rancak membantu kempen Barisan Nasional (BN) malah sudah dua kali datang berkempen di sini.

Datuk Seri Mohd Najib Razak

“PRK Cameron Highlands sangat mustahak kepada Najib, kalau BN menang ia akan jadi inspirasi, kalau menang dia boleh buat satu ‘political come back,” katanya ketika berucap dalam program Ceramah Perdana di Tanah Rata di sini semalam seperti dipetik utusanonline.

Menurut Kit Siang, Najib mungkin bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua seperti mana Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, impian Najib itu juga untuk menyelamatkan dirinya daripada pelbagai tuduhan di mahkamah.

Katanya, gabungan Umno dan Pas berharap boleh memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan diadakan sebelum tahun 2023.

“Najib berharap mereka menang, kalau menang mungkin dia tak perlu masuk penjara Sungai Buloh. Dia fikir kalau Mahathir boleh jadi Perdana Menteri buat kali kedua, kenapa Najib tak boleh?

“Najib menghadapi 39 tuduhan di mahkamah atas dakwaan rasuah, salah guna kuasa dan jika kesnya berlarutan dan jika dia jadi Perdana Menteri, semua kesnya akan dibekukan,” katanya.