Malaysia Dateline

PRK Chini: 64 peratus keluar mengundi setakat jam 2 petang

Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil Dun Chini sehingga jam 2 petang ini sebanyak 64 peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan 70 peratus pengundi keluar mengundi dan telah melantik 32 pemerhati pilihan raya dari agensi kerajaan, NGO dan individu yang berkelayakan untuk memantau proses pemilihan.

Waktu tutup pusat mengundi adalah pada jam 5.30 petang nanti.

Seramai 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal layak mengundi untuk memilih satu daripada tiga calon iaitu calon BN, Mohd Shahrim Md Zain serta dua calon Bebas iaitu, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.