Malaysia Dateline

PRK Chini: Keahlian Bersatu Tengku Zainul Hisham bakal terlucut

Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Megat Najmuddin Megat Khas menegaskan keahlian Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dalam parti itu bakal terlucut serta-merta jika bekas inspektor polis itu meneruskan hasrat bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Beliau berkata, hal tersebut tidak perlu dibawa ke mesyuarat lembaga disiplin kerana telah jelas dinyatakan dalam perlembagaan Bersatu.

“Kalau dia buat begitu, dia automatik out (keluar) lah, sebab dia macam masuk pembangkang, atau dia ingkar kepada arahan atau susunan yang dibuat oleh parti,” lapor Malaysiakini.

Tengku Zainul Hisham yang juga anak kepada bekas ADUN Bandar Pekan, Allahyarham Datuk Shamsiah Abdul Hamid mengumumkan untuk bertanding dalam PRK Chini pada 4 Julai depan sebagai calon bebas.

Ahli perniagaan yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pekan itu berkata, beliau bersedia berhadapan dengan segala tindakan yang akan dikenakan parti berhubung keputusannya itu.

Difahamkan Tengku Zainul Hisham adalah penyokong kuat Pengerusi Bersatu yang dipertikaikan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin berkata, parti tersebut tidak akan meletakkan calon sebaliknya seluruh jentera Bersatu akan digerakkan untuk memastikan kemenangan calon dari sekutu barunya dalam Perikatan Nasional (PN), iaitu BN.

Dalam hal berkaitan, ahli jawatankuasa Umno Pekan Mohd Sharim Md Zin diumumkan BN hari ini sebagai calon untuk PRK Chini.

Pakatan Harapan (PH) pula pada 6 Jun lalu memberitahu tidak meletakkan calon ekoran bimbang risiko penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan pengundi.

PRK kali pertama selepas PN terbentuk itu dilakukan ekoran kematian penyandangnya Abu Bakar Harun di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 6 Mei lalu.