Malaysia Dateline

PRK Dun Balakong, Seri Setia diadakan serentak pada 8 September

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Seri Setia diadakan serentak dengan PRK Dun Balakong, pada 8 September ini.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 18 Ogos.

Ia diumumkan oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Othman Mahmood, hari ini.

Kerusi Dun Seri Setia kosong selepas penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia akibat barah usus, pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) , Allahyarham Shaharuddin menang kerusi Dun  Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Yusoff M Haniff; calon Pas, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.

Sementara itu, kerusi Dun Balakong kosong kerana kematian penyandang kerusi Dun  berkenaan iaitu mendiang Ng Tien Chee pada 20 Julai lalu akibat kemalangan jalan raya di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga.

Tien Chee terbunuh selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah lori pencuci jalan.

Pada PRU-14, Tien Chee berjaya mengekalkan kerusi Dun Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon BN dan Pas dengan majoriti 35,538 undi.