Malaysia Dateline

PRK Dun Chini: SPR wajar beri peluang calon bersiaran di media kerajaan dan swasta

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen-Pilihan Raya (JKPK-PR), Syed Ibrahim Syed Noh mengesyorkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia bekerjasama dengan saluran media kerajaan dan swasta menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Chini, pada 4 Julai ini.

Beliau berkata, kerjasama dengan saluran media adalah untuk memastikan pencapaian yang adil dengan masa ke udara yang saksama diberikan kepada calon-calon untuk menyampaikan pandangan dan komitmen mengapa mereka perlu dipilih.

Lebih-lebih lagi katanya, kebimbangan tertumpu oleh kerana Chini dikenali sebagai kawasan luar bandar dan penempatan warga Felda dan Orang Asli.

“Saya difahamkan pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah bersedia untuk menyediakan tambahan kapasiti dan liputan internet sekiranya SPR memutuskan untuk menggalakkan kempen dalam PRK Chini dilakukan melalui media sosial.

“Apa yang diperlukan sekarang ialah untuk melebarkan liputan melalui saluran media perdana kerajaan dan swasta terutamanya televisyen dan radio.

“Saya percaya ini berfaedah untuk kedua-dua pihak, untuk pemilih dan calon-calon atau penyokong,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

SPR sebelum ini mengumumkan PRK DUN Chini akan diadakan pada 4 Julai ini, manakala hari penamaan calon pada 20 Jun, dan pengundian awal pada 30 Jun, dengan kos keseluruhan PRK itu dianggarkan berjumlah RM4.3 juta.

SPR turut mencadangkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) kepada Kementerian Kesihatan (KKM), antaranya mengehadkan 400 orang bagi setiap saluran berbanding 600 orang sebelum ini manakala perjalanan kempen pilihan raya pula tertakluk kepada perintah semasa kerajaan.

SPR juga memutuskan tiada ceramah akan dibenarkan termasuk larangan membuat lawatan ke rumah-rumah pemilih untuk memastikan penjarakan sosial terus dipatuhi.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang itu berkata, selain daripada capaian kepada media perdana, beliau yakin kempen rumah ke rumah masih boleh dibenarkan dengan syarat yang ketat seperti mematuhi penjarakan sosial, memakai pelitup separuh muka dan tidak melebihi empat orang.

Namun katanya, rundingan masih perlu dilakukan terlebih dahulu dengan pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan dan pihak polis.

Beliau turut mencadangkan agar satu sesi sumbang saran diadakan dengan semua pemegang taruh sebagai prasyaratnya.

Kata Syed lagi, seperti yang dibincangkan ketika kunjungan hormat JKPK-PR ke SPR Januari lalu, mandat besar JKPK-PR ialah menggubal undang-undang pilihan raya kerana ia bertanggungjawab terus kepada Parlimen dan boleh membantu memudahcara proses pelaksanaan reformasi pilihan raya.

Lebih penting lagi katanya, JKPK-PR boleh memainkan peranan penting sebagai semak dan imbang terhadap SPR dan kerajaan.

JKPK-PR antara lain boleh menilai mana-mana perundangan dan pindaan sebelum ia dibentang dan dibahaskan di parlimen dengan mendapat pandangan semua pemegang taruh; menilai dan membahaskan laporan tahunan SPR termasuk laporan pilihan raya umum dan PRK.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.

Ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, Allahyarham selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.