PRK Dun Seri Setia: Abdul Hadi yakin kerjasama Pas-Umno positif

PRK Dun Seri Setia: Abdul Hadi yakin kerjasama Pas-Umno positif

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang melihat kerjasama di antara parti itu dan Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Seri Setia akan menjelmakan hasil yang positif dalam keputusan PRK itu nanti.

Beliau berkata kerjasama kedua-dua parti itu pada PRK Dun Sungai Kandis, 4 Ogos lalu, merupakan satu permulaan yang baik, dengan peratusan undi yang diterima calon BN meningkat berbanding yang diterima calon Pakatan Harapan (PH).

“Saya melihat (PRK) Sungai Kandis satu perubahan yang sangat menarik dan saya rasa PRK ini (Seri Setia) akan lebih memihak kepada kita,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat jentera pilihan raya Pas mengenai PRK Dun Seri Setia di Pejabat Pas Selangor,semalam lapor Bernama.

Turut hadir Naib Presiden Idris Ahmad, Pesuruhjaya Pas Selangor Sallehen Mukhyi dan calon Pas bagi PRK itu, Dr Halimah Ali.

Pada PRK yang ditetapkan 8 September ini, Dr Halimah yang juga bekas Anggota Exco kerajaan negeri Selangor ditentang calon PH Halimey Abu Bakar.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lalu.

Abdul Hadi berkata jentera Pas juga akan mengerahkan sebanyak mungkin pengundi keluar menjalankan tanggungjawab pada PRK itu nanti agar tidak menjadi seperti PRK Dun Sungai Kandis yang mencatatkan peratusan keluar mengundi agak rendah iaitu 49.4 peratus.

Beliau dalam pada itu mengulangi sokongan Pas kepada calon MCA di PRK Dun Balakong Tan Chee Teong atas semangat setiakawan pembangkang.

“Kenapa kita sokong MCA MCA tentang hudud dan DAP juga menentang hudud tetapi DAP menentang hudud kita kita sama-sama dalam Pakatan Rakyat, dalam satu gagasan. Dia (DAP) tidak mahu hormati, dia serang kita walaupun kita dalam satu pakatan.

“MCA bukan dalam satu pakatan, dia tidak setuju dia cakap tidak setuju sahaja, dia tidak menyerang sebagaimana DAP itu bezanya,” katanya.

Tan berdepan calon PH Wong Siew Ki pada PRK itu yang diadakan susulan kematian penyandangnya Eddie Ng dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS