PRK Dun Seri Setia: Bukti Umno hilang kekuatan, kata Pemuda AMANAH Selangor

PRK Dun Seri Setia:  Bukti Umno hilang kekuatan, kata Pemuda AMANAH Selangor

Pengunaan logo ‘Harapan’ dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (Dun) Balakong dan Seri Setia merupakan lanskap politik baharu bagi PH untuk terus mempertahankan kerusi yang telah dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Ketua Pemuda AMANAH Negeri Selangor, Abbas Azmi berkata, PRK Dun Seri Setia berlaku pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan Halimey Abu Bakar dan Pas Dr Halimah Ali membuktikan betapa Umno menyedari parti itu tidak lagi mempunyai kekuatan.

“Bagi PRK Seri Setia ia merupakan satu lawan satu yang akan mengembalikan kegemilangan kemenangan PH sekali lagi.

“Straight fight satu lawan satu antara calon PH dan calon Pas membuktikan betapa Umno menyedari mereka sudah tidak lagi mempunyai kekuatan.

“Senario politik terkini membuktikan Umno sudah tidak mempunyai harapan untuk menang dan terpaksa mempertaruhkan Pas kali ini.

“Umno sendiri tahu mereka sudah tiga penggal menjadi pembangkang di Selangor dan tidak yakin mampu mengulangi kemenangan sebelum 2008 yang lalu,”ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda AMANAH Kawasan Permatang Pauh di Seberang Jaya, semalam.

Abba Azmi duduk (dua dari kanan) bersama barisan Pemuda AMANAH Permatang Pauh pada mesyuarat tahunan yang diadakan semalam.

Sehubungan itu katanya, mempertaruhkan bekas Exco Negeri Selangor Dr Halimah Ali yang mewakili Pas tidak akan mampu mendapat sokongan daripada majoriti pengundi Dun Seri Setia sekali lagi.

Malah ujarnya, rakyat kini tidak lagi melihat kepada calon individu, sebaliknya mereka mahukan sebuah parti yang mantap untuk meneruskan senario politik di Selangor.

“Dalam PRU 9 Mei yang lalu, Umno hanya mampu menang 4 kerusi sahaja di Selangor jika dibandingkan sebanyak 12 kerusi dalam PRU ke 13 yang lalu.

“Mutakhir ini senario politik semakin berubah apabila rakyat dahagakan pembaharuan dan tidak lagi mahu berada pada takok lama.

“Seruan pimpinan Umno untuk memberi undi kepada calon Pas mungkin tidak dapat diterima oleh ‘grass root’ Umno dan begitu juga sebaliknya, ” tegasnya lagi.

Justeru itu katanya, kemenangan yang akan diraih oleh Pakatan Harapan bagi PRK kali ini akan mampu mengulangi sejarah kemenangan besar bekas Adun yang lalu.

Dalam PRU ke 14 yang lalu, PKR berjaya memperolehi kemenangan melalui Prof Dr Shaharuddin Badaruddin setelah berjaya mendapat 29,250 undi mengalahkan calon BN yang mendapat sebanyak 9,878 undi, Pas 4,563 undi dan Bebas sebanyak 217 undi.

 

 

6.0
OVERALL SCORE
: 9.0
2 user votes x 4.5