Malaysia Dateline

PRK Kimanis: AMANAH Sabah aktifkan jentera bantu menangkan calon Warisan

AMANAH Sabah menyatakan sokongan penuh kepada calon Warisan yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, 18 Januari nanti.

Menurut Pengerusi AMANAH Sabah Lahirul Latigu pihaknya akan mengaktifkan jenteranya di semua peringkat termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Warda bagi membantu kempen serta memastikan kemenangan calon Warisan di PRK itu nanti.

“Kita akan bekerja keras membantu memastikan kemenangan calon Warisan, jentera AMANAH akan diaktifkan segera untuk turun bertemu masyarakat dan ahli di kawasan Kimanis bagi menyokong calon Warisan,” katanya.

Reatret AMANAH Sabah yang diadakan segera untuk mempersiapkan jentera pilihan raya AMANAH Sabah bagi menghadapi PRK Januari ini.

Jelas beliau, selain caloin Warisan mempunyai kelebihannya, AMANAH yang merupakan rakan komponen Pakatan Harapan akan membantu sedaya upaya mereka di Kimanis selaras dengan misi yang ingin memakmurkan negeri berpaksikan semangat setia kawan dalam kerajaan negeri.

“Maka kita sepakat untuk meneruskan warisan bertanding di kerusi Kimanis kali ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri “Program Reatret AMANAH Sabah” yang diadakan segera untuk mempersiapkan jentera pilihan raya AMANAH Sabah bagi menghadapi PRK Januari ini.

Pada 16 Dis, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Jan, manakala pengundian awal akan dilaksanakan pada 14 Jan.

PRK Parlimen Kimanis diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi parlimen itu setelah Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di Parlimen Kimanis pada PRU14 itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU14, calon Warisan Datuk Karim Bujang yang juga Ketua Bahagian Warisan Kimanis tewas tipis 156 undi kepada Anifah.

Karim kemudiannya memfailkan petisyen pada 18 Jun 2018 bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional.