Malaysia Dateline

PRK Kimanis: Bersatu Sabah aktifkan jentera bantu kempen Warisan

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah akan turun padang berkempen bagi membantu memastikan kemenangan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Pengerusi Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor berkata Bersatu Sabah khususnya di Kimanis telah mengaktifkan jentera pilihan raya di semua peringkat termasuk Armada dan Srikandi Bersatu bagi membantu kempen calon Warisan yang dipilih mewakili parti itu pada PRK berkenaan.

“Kita akan bekerja kuat dan membantu memastikan kemenangan calon Warisan. Jentera sudah diaktifkan dan belum pun penamaan calon tetapi Srikandi Bersatu sudah bertemu rakyat berkempen supaya mereka menyokong calon Warisan pada pilihan raya ini.

“Calon Warisan mempunyai kelebihan dan kita (Bersatu) parti dalam Pakatan Harapan (PH) akan membantu sedaya upaya kami di Kimanis,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Pimpinan Bersatu Sabah Bahagian Putatan di sini, hari ini.

Pada 16 Dis, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Jan, manakala pengundian awal akan dilaksanakan pada 14 Jan.

PRK Parlimen Kimanis diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi parlimen itu setelah Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di Parlimen Kimanis pada PRU14 itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada PRU14, calon Warisan Datuk Karim Bujang yang juga Ketua Bahagian Warisan Kimanis tewas tipis 156 undi kepada Anifah.

Karim kemudiannya memfailkan petisyen pada 18 Jun 2018 bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata, Bersatu Sabah kini mempunyai hampir 100,000 keahlian berdaftar dan pihaknya menjangkakan jumlah itu akan bertambah sehingga 150,000 ahli menjelang setahun Bersatu Sabah bertapak di negeri ini pada April tahun depan.

Mengenai program jelajah, Hajiji berkata, ia adalah platform untuk pimpinan Bersatu Sabah memberi penerangan tentang perjuangan parti selain mahu bertemu dan mendekati rakyat di peringkat akar umbi.

Ia juga menjadi ruang untuk Bersatu Sabah menjelaskan prinsip serta pendirian parti untuk menyokong Warisan yang mesra dengan PH kepada rakyat, katanya.

Program Jelajah Pimpinan Bersatu Sabah akan diteruskan esok ke Kota Belud dan siri jelajah di kesemua 25 bahagian seluruh Sabah itu dijangka selesai April tahun depan.

— BERNAMA