Malaysia Dateline

PRK Kimanis: Karim Bujang diumum calon Warisan

Ketua Bahagian Kimanis Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang diumumkan sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membuat pengumuman berkenaan pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Warisan, PRK Parlimen Kimanis di Dewan Terbuka Membakut pada Khamis.

Karim, 67, ialah calon Warisan bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018 tetapi kalah dengan marjoriti 156 undi kepada bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, yang ketika itu bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Karim memfailkan petisyen pilihan raya pada 18 Jun tahun lepas untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.

Anifah kemudiannya keluar UMNO, parti komponen BN dan menjadi wakil rakyat bebas.

Karim pernah menjadi ahli Dewan Undangan Negeri Bongawan selama lima penggal dari tahun 1990 hingga 2013 selain pernah menjawat jawatan kanan dalam Kabinet negeri Sabah sebagai pembantu menteri.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah berkata Warisan memilih Karim sebagai calon parti itu selepas melihat perjuangan serta pendiriannya untuk mencabar keputusan bagi kerusi Parlimen Kimanis pada PRU ke-14 di mahkamah.

Mohd Shafie berkata Karim adalah seorang pemimpin politik berpengalaman luas dan mempunyai semangat juang tinggi selain tidak pernah kalah dalam pilihan raya sebelum ini kecuali pada PRU14.

“Pada pilihan raya lepas (bagi kerusi Kimanis pada PRU ke-14) ada isu berbangkit dan itu yang masuk mahkamah. Jadi, mahkamah putuskan bahawa perlu ada PRK… maknanya dia (Karim) tidak kalah.

“Jadi, dari segi perjuangan, pengalaman, saya mempertimbangkan secara dalam (untuk memilih Karim sebagai calon Warisan).

“Kita perlukan seorang daripada suku kaum Brunei yang berani bersuara lantang mengenai kepentingan masyarakat Brunei,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kimanis pada 18 Jan ini manakala penamaan calon pada 4 Jan dan pengundian awal pada 14 Jan.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Dis mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah bagi kerusi itu.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Anifah memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru. Calon lain dari Parti Harapan Rakyat Sabah meraih 1,300 undi.

Terdahulu, Mohd Shafie ketika berucap, mahu ahli Warisan dan parti komponen Pakatan Harapan (PH) di Sabah termasuk Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bekerjasama dalam memastikan kemenangan Warisan dalam PRK Kimanis.

Beliau berkata BN gagal membawa kemajuan bagi Kimanis meskipun parti itu sudah lama bertapak di Sabah, dan sekiranya diberi mandat, Warisan dan sekutunya akan membawa perubahan dan penambahbaikan supaya rakyat di kawasan itu mendapat lebih banyak pembangunan mampan untuk masa depan lebih baik.

Mohd Shafie berkata Kimanis berpotensi besar dalam bidang perindustrian terutama minyak dan gas.

Beliau berkata dengan kedua-dua Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kimanis iaitu Bongawan dan Membakut masing-masing diterajui wakil rakyat Warisan dan PH daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), rakyat Kimanis akan lebih baik sekiranya mandat itu diberikan kepada Warisan pada pilihan raya kecil itu.

Sementara itu, Karim ketika ditemui berterima kasih kepada pucuk pimpinan tertinggi Warisan, UPKO dan PH Sabah atas kepercayaan diberikan kepadanya untuk kembali bertanding pada PRK itu.– BERNAMA