PRK Kimanis: SPR terima perakuan mahkamah

PRK Kimanis: SPR terima perakuan mahkamah

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia menerima perakuan mahkamah mengenai pembatalan keputusan pilihanraya Parlimen P.176 Kimanis, Sabah.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, SPR menerima Perakuan Mahkamah di bawah Seksyen 36A(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Akta itu sekaligus mengisytiharkan bahawa keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen P.176 Kimanis, Sabah yang diadakan pada 9 Mei 2018 adalah tidak sah dan terbatal.

“Sehubungan dengan itu, selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengisi kekosongan kerusi tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang ditentukan oleh SPR iaitu mulai 10 Disember 2019.

“Pemakluman secara rasmi telah dihantar kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat pada 9 Disember 2019.

“SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai perlaksanaan pilihan raya tersebut. Tarikh mesyuarat tersebut akan dimaklumkan nanti oleh pihak SPR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, menerima surat daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun mengenai kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kimanis.

Pada 2 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya, yang menolak kemenangan Anifah bagi kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan Anifah pada PRU-14 kerana mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya, sekali gus membenarkan petisyen pilihan raya raya dikemukakan bekas calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang.

Hakim Lee Heng Cheong membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat kesilapan pada semua kotak undi yang mempunyai unsur manipulasi, termasuk kertas undi tambahan yang melanggar undang-undang pemilihan.