PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar paling aman dalam sejarah – Ahmad Zahid

PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar paling aman dalam sejarah – Ahmad Zahid

Pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar, Selangor setakat ini adalah yang paling aman dalam sejarah PRK negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata walaupun ada PRK yang pernah diadakan pada bulan Ramadan, namun ia berbeza dengan kempen di sini dan Sungai Besar.

“Ini mungkin kerana perkhidmatan polis lebih baik daripada yang terdahulu,” katanya ketika berucap semasa mengadakan lawatan ke Markas Taktikal (Martek) polis bagi PRK Kuala Kangsar di sini Ahad.

Katanya terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keamanan dalam PRK kali ini dan ia termasuklah kematangan berpolitik parti-parti yang bertanding selain kerja keras daripada pasukan keselamatan.

“Bukan hanya sekadar pematuhan terhadap Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957 atau Akta Polis 1967, tetapi lebih daripada itu ialah hati dan nurani mesti menghormati secara matang sistem demokrasi yang berjalan dengan baik di Malaysia, ” katanya.

Ahmad Zahid berkata sejak kempen bermula pada hari penamaan calon 5 Jun lepas sehingga kini hanya 11 laporan polis diterima dan berharap keamanan itu dapat dikekalkan sehingga selesai hari pengundian pada 18 Jun.

PRK Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Bebas, manakala PRK Sungai Besar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan Amanah.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Abd Rahim Hanafi berkata sehingga kini lima kertas siasatan (IP) telah dibuka daripada keseluruhan 11 laporan polis yang diterima.

Beliau berkata ia termasuk siasatan mengenai dua orang paraglider yang berlegar-legar di ruang udara semasa hari penamaan calon dan kes disiasat mengikut Seksyen 143 Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Satu lagi kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 232 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan selepas seorang pengadu mendakwa terdapat pihak menggunakan nombor telefonnya untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menyokong Amanah, katanya.

Tambah Abdul Rahim pihaknya turut membuka satu IP mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan selepas parti Amanah diarah memberhentikan ceramah dan diugut sistem siaraya akan dimati dan dipecahkan (oleh penduduk setempat) kerana mengadakan ceramah semasa solat sunat Tarawih diadakan.

“Kita juga membuka IP di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan berhubung pertengkaran Pemuda Persatuan Progresif India Malaysia dan IP kelima dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan selepas kain rentang calon Barisan Nasional (BN) (Datin Mastura Mohd Yazid) hilang di persimpangan menuju Bukit Chandan di sini,” katanya.

Menurut Abdul Rahim sebanyak 1,575 anggota polis ditugaskan bagi memastikan kelancaran proses PRK Parlimen Kuala Kangsar dan pihaknya turut meletakkan 20 khemah polis di kawasan tertentu untuk memastikan keadaan terkawal.

PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pengundian diadakan serentak pada 18 Jun.

COMMENTS

Wordpress (0)