Malaysia Dateline

PRK Parlimen Gerik bakal menyusul ketika Covid-19 mengganas

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik bakal menyusul apabila Datuk Hasbullah Osman, 63, meninggal dunia hari ini.

Gerik akan menyaksikan siri PRK kelima bagi tahun ini dan PRK ke-14 selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat berdepan cabaran dalam meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) mencegah ancaman penularan Covid-19.

Hal ini memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah mengundang gelombang ketiga wabak Covid-19 seperti disahkan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan lonjakan tinggi kes setiap hari.

Untuk rekod, lagi 1,103 kes baharu Covid-19 disahkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 48,520 kes positif virus itu di Malaysia.

Terdahulu, Hasbullah meninggal dunia di Raub, Pahang hari ini akibat sakit jantung.

Pada PRU14, Allahyarham memenangi kerusi Parlimen Gerik dengan majoriti sebanyak 5,528 undi menewaskan calon Pas, Ustaz Dahalan dan Bersatu, Ibrahim Hanafiah yang ketika itu menggunakan simbol PKR.

Pada 12 Mei lalu, Hasbullah juga dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) yang berkuatkuasa sehingga 11 Mei 2022.

Allahyarham turut pernah memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Pelaburan TH Properties Sdn Bhd (anak syarikat Tabung Haji).

Jawatan lain pernah disandang beliau adalah Ahli Lembaga Pengarah Ladang Lekir Anak Syarikat Perbadanan Pertanian Negeri Perak, Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Ahli Lembaga Pengarah FGV Downstream (anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Bhd).

Allahyarham juga pernah memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ITC Sdn Bhd (anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak), Pengerusi ALPHA (PNS) dan Pengerusi Pusat Reka Bentuk Pembangunan Malaysia Sdn Bhd (anak syarikat Majlis Amanah Rakyat).