Malaysia Dateline

PRK Parlimen Kimanis 18 Januari

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia mengumumkan 18 Januari 2020 sebagai tarikh bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, Sabah.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Januari 2020, manakala pengundian awal akan diadakan pada 14 Januari 2020.

“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding sehingga pukul 11.59 malam, 17 Januari 2020.

“Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka bermula pada 16 Disember 2019 sehingga 2 Januari 2020.

“Bagi proses PRK ini, Pegawai Daerah Beaufort, [email protected] Etok dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK Parlimen P.176 Kimanis, Sabah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRK berkenaan di ibu pejabat SPR di sini, hari ini.

Sementara itu, Azhar berkata, seramai 653 orang petugas dilantik bagi mengendalikan proses PRK tersebut dengan sebanyak 20 buah Pusat Mengundi yang mengandungi kesemuanya 69 saluran akan digunakan untuk kemudahan pengundi.

PRK berkenaan juga akan menggunakan Daftar Pemilih Induk Suku Tahun Ketiga 2019 yang dikemaskini hingga 9 December 2019.

Daftar pemilih tersebut mengandungi 29,664 orang pengundi yang terdiri daripada 29,654 orang pengundi biasa, 9 orang pengundi awal dan seorang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

SPR turut memaklumkan akan menggunakan Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Undi.

“SPR juga bersetuju menubuhkan empat Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti kempen pilihanraya sepanjang tempoh rasmi berkempen.

“Bagi menggalakkan pengundi supaya keluar, SPR akan melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ melalui pelbagai saluran media termasuk di media electronik, media sosial, media cetak serta hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di tempat tumpuan awam,” katanya.

Tambah azhar, mulai 26 Disember depan, para oengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi daj nombor bilangan melalui laman portal SPR, www.spr.gov.my atau menelefon ke talian 03-88927018 atau melalui SMS 15888 atau melalui aplikasi MySPR Semak.