PRK: Pas mahu berunding dengan PKR, tidak dengan Amanah

PRK: Pas mahu berunding dengan PKR, tidak dengan Amanah

Pas hanya akan berunding dengan PKR bagi memutuskan soal calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, perbincangan bersama PKR akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Ini bermakna, parti itu menolak sebarang perundingan dengan Pakatan Harapan walaupun Parti Amanah Negara (Amanah) dilapor telah menyatakan kesudian untuk berbincang dengan Pas bagi mengelak pertembungan sesama parti pembangkang.

“Kita ada hubungan dengan PKR, jadi rundingan hanya akan dibuat dengan PKR sahaja. Amanah tidak perlulah (berunding) kerana kita tidak mempunyai hubungan dengan mereka. Kita juga tidak merancang untuk berbincang dengan mereka,” katanya.

Pas bagaimanapun tiada halangan sekiranya Amanah membuat keputusan meletakkan calon mereka di dua pilihan raya itu.

“Malaysia negara demokrasi dan bebas, sesiapapun boleh meletakkan calon mereka. Namun, sebaik-baiknya, biarlah satu lawan satu,” katanya seperti dipetik Sinaronline.

Pas sebelum ini membuat keputusan untuk bertanding di dua kawasan Parlimen Sungai Besar, dan Kuala Kangsar, berikutan kematian dua ahli Parlimen berkenaan dalam nahas helikopter di Sarawak 5 Mei lalu.

Parlimen Sungai Besar sebelum ini diwakili Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon, manakala Parlimen Kuala Kangsar diwakili Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, kedua-duanya daripada BN.

Kedua-dua mereka antara yang terbunuh dalam tragedi helikopter terhempas ketika penerbangan dari Betong ke Kuching, Sarawak.

Turut terbunuh, suami Noriah, Asmuni Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai; pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang, Kapten Rudolf Rex Ragas.

TAGS