PRK PD: 68,317 pengundi tunaikan tanggungjawab hari ini

PRK PD: 68,317 pengundi tunaikan tanggungjawab hari ini

Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson hari ini di kesemua 32 pusat pengundian bagi membolehkan 68,317 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Pusat pengundian yang merangkumi sekolah dan dewan orang ramai itu akan ditutup pada 5.30 petang ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus pemilih keluar mengundi pada PRK ini dan keputusan dijangka diumumkan pada 10 malam.

 

Pengundi Port Dickson keluar mengundi bagi memilih siapa wakil rakyat mereka hari ini

Menurut Bernama, proses penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini sebaik proses pengundian tamat pada 5.30 petang.

Pertandingan tujuh penjuru dalam PRK ini menyaksikan pertembungan calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS) dan lima calon Bebas iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial Stevie Chan Kee Leong, pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan.

 

Calon nombor 1 Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni pengundi pagi ini

Mohd Isa satu-satunya calon yang layak mengundi dan dijangka berbuat demikian di Sekolah Kebangsaan Linggi.

Kawasan Parlimen Port Dickson mempunyai keseluruhan 77,750 pengundi termasuk pengundi awal dan merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus kaum Cina, 22 peratus India dan lain-lain sebanyak dua peratus.

Pengundian awal yang melibatkan 7,191 pemilih terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis berlangsung pada Selasa lepas.

PRK itu diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, meletak jawatan pada 12 Sept lepas bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dalam usaha kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu Danyal Balagopal, bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia menang selesa dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

 

Pasukan Keselamatan mengawal suasana pusat mengundi yang dibanjiri penyokong Harapan dan Pas

Kerusi Parlimen Port Dickson, yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008, mempunyai lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Chuah dan Lukut yang masing-masing dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (BN) dan Sri Tanjung (PKR).

PRK Parlimen Port Dickson adalah PRK keempat selepas PRK DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, kesemuanya di Selangor, selepas PRU14 yang diadakan 9 Mei lalu.

CATEGORIES
TAGS