PRK Port Dickson: Antara idealisme demokrasi dan kontroversi

PRK Port Dickson: Antara idealisme demokrasi dan kontroversi

Seusai berlalunya Pilihan Raya Kecil(PRK) Seri Setia dan Balakong, pengundi-pengundi Parlimen Port Dickson (P132) pula akan menghadapi PRK. Parti Keadilan Rakyat (PKR) merancang untuk menurunkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai calon Pakatan Harapan(PH).

PKR berpandangan sudah sampai waktunya DSAI berada di Parlimen sebelum mengambil tugas dan tanggungjawab sebagai bakal Perdana Menteri ke-8. Menurut Perlembagaan Malaysia, Perdana Menteri hendaklah seorang daripada Ahli-Ahli Parlimen Malaysia. Suka atau tidak, DSAI wajib menjadi Ahli Parlimen Malaysia dahulu, sebelum boleh berangan-angan untuk memegang jawatan Perdana Menteri ke-8. Ini adalah fakta, bukannya auta.

Ini adalah PRK ke-3 yang melibatkan DSAI. Banyak pihak yang mempertikaikan kewajaran diadakan PRK P132. PRK Langkah Kajang dan Permatang Pauh beberapa tahun lalu masih segar dalam ingatan kita. Pastinya PRK terbaru ini akan mengundang kontroversi dan polemik daripada semua rakyat, terutamanya daripada politikus-politikus parti-parti pembangkang. Masing-masing punya hujah dan alasan. Apapun kita difahamkan bahawa PKR telah mendapat restu dan persetujuan rakan-rakan komponen dalam Pakatan Harapan(PH) untuk mengadakan PRK P132 ini.

Di samping PRK Parlimen Port Dickson, ahli-ahli PKR juga akan terlibat dalam pemilihan barisan pimpinan baru PKR. Kelihatannya PKR sentiasa akan mewarnai berita-berita politik semasa tanah air. Begitulah resam parti-parti politik dan politikus-polikusnya, sentiasa berpolitik, bercakap dan bertindak semuanya berkisar kepada politik tanah air tercinta ini. Apapun itulah faktanya. Penamaan calon PRK P132 adalah pada hari Sabtu ini, 29 September 2018. Hari mengundi pula adalah pada 13 Oktober 2018, hari Sabtu juga.

Seperti yang telah dimaklumkan, calon PH adalah Datu Seri Anwar Ibrahim daripada PKR. Sebelum ini pula Umno, MIC dan MCA, parti-parti yang masih bergabung dalam Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan untuk tidak meletakkan calon mereka. BN seolah-olah ingin memboikot PRK P132 ini dengan alasan bahawa ia adalah PRK yang membazir dan sesuatu yang dipaksakan kepada pengundi-pengundi Parlimen Port Dickson.

Memang benar mereka terpaksa sekali lagi turun untuk mengundi hanya selepas lima bulan mengundi dalam PRU ke-14 tempoh hari. Apatah lagi kekosongan kerusi Parlimen P132 ini bukanlah kerana kematian Ahli Parlimennya seperti Dun-Dun Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. Ia diadakah hanya sekadar untuk membolehkan DSAI kembali menjadi seorang Ahli Parlimen Malaysia, sekali gus membolehkan beliau menjadi calon Perdana Menteri Malaysia ke-8 ! Itulah strategi PKR untuk bakal Presiden baru mereka.

Terkini, Pas telah mengumumkan Mohd Nazari Mokhtar, pesara anggota Tentera Udara Malaysia berpangkat Leftenan Kolonel sebagai calon untuk memeriahkan pesta demokrasi PRK P132 – Port Dickson, walaupun sebelum ini Pas seolah-olah ingin turut serta juga memboikot PRK P132 ini. Nampaknya strategi dan pencak silat Pas dalam politik boleh juga berubah-ubah, fleksibel menurut keperluan semasa! Apapun kita tunggulah hari penamaan calonnya nanti. Pengumuman tentang hal ini disampaikan sendiri oleh Timbalan Presiden Pas. Oleh yang demikian ahli-ahli Pas hendaklah akur saja terhadap keputusan pimpinan Pas Pusat! Tidak bersetuju kepada keputusan parti bererti tidak wala’ kepada pimpinan ulamak. Difahamkan juga mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad akan turut serta sebagai calon bebas.

Suatu yang menarik berkaitan PRK P132 ini adalah kenyataan Pengerusi PH dan juga Perdana Menteri Malaysia ke-7, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak akan turun berkempen untuk memenangkan DSAI. Alasannya, seperti kelaziman sebelum inipun, semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri ke-4 dahulu, beliau tidak pernah turut berkempen dalam sebarang PRK.

Alasannya beban kerja-kerja beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia sekarang ini teramat banyak. Beliau perlu menumpukan seluruh masa, buah fikiran serta tenaga beliau untuk memulihkan kepincangan ekonomi dan pentadbiran kerajaan terdahulu. Walau bagaimanapun Tun Dr Mahathir Mohamad tetap menyokong serta mendukung DSAI sebagai calon PH.

Pada hari ini tanggal 27 September 2018 sewaktu berada di Kotaraya New York, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi persetujuan pimpinan PH setelah memenangi PRU-14 lalu bahawa DSAI akan menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-8, selepas beliau mengundurkan diri. Cuma tarikhnya masih belum ada, mungkin pada bulan 10 Mei 2020, iaitu genap dua tahun Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ke-7. Inilah yang kita dengar dan maklumi selepas PRU-14.

Mengenang kembali kisah-kisah politik Malaysia pada tahun 1998, kira-kira 20 tahun lalu cukup membuatkan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PH menjadi gundah gulana. Perasaan bimbang penuh kerisauan tetap ada apabila memikirkan siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8. Apakah DSAI akan kempunan lagi? Apakah benar-benar Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengotakan janjinya untuk menyerahkan jawatan keramat itu kepada DSAI ? Apakah Memorandum Of Understanding (MOU) yang telah ada dan dipersetujui secara konsensus oleh Majlis Presiden PH itu akan tetap dihormati dan dilaksanakan?

Kalau dilihat dari sudut adat dan logik akal, persoalan ini hanya boleh dileraikan oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri, bukannya oleh DSAI ataupun Majlis Presiden PH. Selebihnya kita serahkan kepada Allah SWT yang menentukannya. Kita sekadar hanya dapat berharap dan terus berdoa agar apa yang telah dipersetujui oleh pimpinan PH akan menjadi suatu realiti.

Melihat kepada kemungkinan-kemungkinan yang bakal terjadi dalam senario politik tanah air waktu ini, tidak hairanlah kalau pimpinan PKR telah mengusahakan strategi Langkah Port Dickson (LPD) ini. Mereka pastinya sudah tahu bahawa LPD ini akan dikritik, dicemuh dan disensasikan oleh parti-parti pembangkang. Yang cantiknya tiada suara-suara kritikan yang pedas dan keterlaluan yang datang daripada ahli-ahli parti serta penyokong-penyokong PH.

Saya cukup tertarik dengan saranan Tan Sri Rais Yatim, yang katanya bakal menerajui Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM) @ Bersatu Negeri Sembilan. Beliau telah mengesyorkan agar gandingan Tun Dr Mahathir Mohamad dan DSAI dikembalikan semula dalam menerajui tampok pentadbiran Malaysia selepas DSAI sah menjadi Ahli Parlimen Malaysia nanti. Beliau berpendapat, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail wajar mengundurkan diri sebagai Timbalan Perdana Menteri dan memberikan peluang kepada DSAI untuk meneruskan tugas dan tanggongjawab sebagai Timbalan Menteri Malaysia.

Seandainya DSAI sudah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri itu nanti, sudah tentulah kegelisahan pimpinan PKR terhadap nasib bakal Presiden mereka itu akan mereda dan peralihan kuasa itu bakal terjadi dengan penuh teratur dan tanpa sebarang kekecohan. Tempoh masa gandingan kedua-dua tokoh itu bekerja sebagai satu pasukan yang mantap boleh sampai kepada penghujung penggal Parlimen yang ada sekarang ini.

DSAI akan lebih bersedia dalam menghadapi PRU-15 yang bakal diadakan sekitar tahun 2023. Adalah dijangkakan bahawa ekonomi Malaysia akan telah pulih dan banyak kemajuan telah dilaksanakan dalam pentadbiran negara yang telah dirosakkan oleh pemerintahan dahulu.

Mengambil kira akan perkara-perkara di atas dan kelangsungan PH dalam Malaysia Baru ini, PRK P132 ini yang juga boleh dikenali sebagai Langkah Port Dickson adalah suatu yang wajar. PRK ini adalah dibenarkan oleh Perlembagaan Malaysia dan tidak sekali-kali suatu pembaziran. Ia boleh diharapkan sebagai sesuatu yang boleh menghindarkan perkara yang lebih buruk lagi bagi kerajaan baru PH seandainya ia lambat diadakan. Menghindarkan bencana yang lebih besar adalah lebih afdal daripada bencana kecil.

COMMENTS

Wordpress (0)