Malaysia Dateline

PRK Port Dickson: Demokrasi bagi calon bertanding di bawah kerajaan PH, kata Guan Eng

Timbalan Presiden Pakatan Harapan Lim Guan Eng berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson seperti sebuah ‘karnival demokrasi’ yang membuka ruang kepada semua pihak bertanding tanpa halangan dan rakyat diberi banyak pilihan untuk memilih pemimpin dengan 7 calon bertanding pada 13 Oktober depan.

“Semua bebas untuk bertanding secara sihat dan ini perlu diamalkan sebagai satu demokrasi tanpa sebarang sekatan. Ini menunjukkan demokrasi kerajaan baharu yang akan terus hidup tanpa menyekat mana-mana pihak.

“Semua bebas untuk bertanding termasuk musuh ketat Anwar… dia berhak bertanding tanpa sebarang sekatan ini menunjukkan demokrasi di bawah kerajaan baharu akan terus hidup,” ujarnya ketika ditemui media di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson hari ini.

Lim Guan Eng

Ditanya sejauh mana kekuatan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menang apabila terpaksa berhadapan dengan enam lagi pencabarnya terutama dua calon bebas bekas pembantu peribadi kepada Anwar, Saiful dan bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

“Susah untuk jawab soalan sedimikian kerana demokrasi ini hidup.Saya yakin Anwar mewakili aspirasi kaum, agama, kawasan dan rakyat di negara ini. Beliau membawa wadah dan aspirasi perjuangan rakyat dalam Pakatan Harapan.

“Jika adapun parti lawan mereka berjuang untuk satu kaum dan agama atau untuk diri sendiri itu demokrasi yang tidak sihat,” ujarnya.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pengundi di Port Dickson perlu menilai pilihan raya kecil kali ini rakyat perlu membuat keputusan yang jelas bagi memberi laluan kepada Anwar untuk menang.

“Adakah rakyat mahu Pakatan Harapan akan mewakili semua rakyat, agama dan kaum atau sebuah parti lawan yang hanya mahu memecah belahkan atau menimbulkan sentimen kebencian kononnya mereka memperjuangkan satu kaum, agama dan kawasan sahaja?

“Satu pilihan yang jelas rakyat boleh buat keputusan kali ini,” ujarnya.

Menteri Kewangan ini juga tidak menafikan Anwar kini menghadapi laluan sukar, namun beliau optimis mengatakan mana-mana pertandingan tidak ada laluan yang mudah untuk menang.

“Laluan sukar… setiap pilihan raya tidak ada laluan yang mudah. Kemenangan itu terjamin sekiranya kita tidak  anggap sebelum lawan sudah menang, itu titik awal akan kalah.

“Jangan pandang ringan setiap perlawanan kerana tidak kira siapapun calon yang akan ditentang kita akan usahakan untuk terus mengekalkan kemenangan,” ujarnya.

Guan Eng berpandangan sekiranya PH boleh memenangi pilihan raya umum pada 9 Mei dan tiga kali kemenangan di PRK Dun Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia, beliau yakin Anwar akan terus mengekalkan momentum itu.

“PRK Port Dickson ini satu ‘reset’ kita akan mula semula. Anwar buat ‘comeback’ sebagaimana yang dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya yakin pengundi akan sedia menerima calon Pakatan Harapan… jika tidak macam mana kita boleh menawan Negeri Sembilan yang mana menteri besarnya juga dari Pakatan Harapan.

‘Ini adalah iklim demokrasi yang sihat,” ujarnya yang melihat kepada sokongan penyokong yang mengiringi Anwar pada hari penamaan calon  yang di luar jangkaan hari ini.

Dengan sokongan yang ditunjukkan oleh penyokong hari ini Guan Eng tidak dapat menjangkakan kemungkinan peratusan keluar mengundi pada 13 Oktober depan sama ada  jauh lebih baik daripada   PRK Dun Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia yang kurang 50 peratus keluar mengundi.

Katanya:” Saya tidak berani nak meramal, rakyat dan Tuhan akan menentukan segalanya”.

PRK Port Dickson akan menyaksikan pertandingan 7 penjuru antara calon PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan calon Pas dan 5 calon bebas.