Malaysia Dateline

PRK Port Dickson: PRM pertaruhkan calon muda generasi Felda

Parti Rakyat Malaysia (PRM) mempertaruhkan calon muda parti itu Ahmad Kamaruddin untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober ini.

Pengumuman calon dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa PRK Port Dickson Koh Swee Yong hari ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur.

Ahmad,42 anak kelahiran Felda Jengka seorang peniaga berkata, pemilihannya dianggap sebahagian daripada perjuangan rakyat.

Beliau sebelum ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 pernah menjadi calon PRM di Dun Bukit Antarabangsa dan pada PRK Dun Sungai Kandis menarik diri saat akhir pada hari pencalonan diadakan.

Beliau mahu membawa suara generasi kedua Felda yang masih lagi gagal ditunaikan oleh BN dan kerajaan Pakatan Harapan hari ini.

“Saya akan bawa suara generasi kedua Felda terutama keperluan rumah generasi kedua.

“Setakat hari ini pendirian kerajaan Pakatan Harapan masih lagi terbengkalai akan diteruskan pengumuman bajet RM164juta oleh kerajaan BN, SPNB harus diberikan projek untuk meneruskan pembinaan rumah generasi kedua ini oleh kerajaan Pakatan Harapan.

“Itu tidak termasuk lagi dengan masalah hutang lama peneroka yang masih gagal dilangsaikan setelah Pakatan Harapan memerintah lebih 100 hari masih lagi tertunggak,” ujarnya.

Bermain di padang sama

Ditanya berkaitan calon luar bukan anak tempatan yang bakal berentap di PRK Port Dickson, Ahmad berkata,  calon PH Datuk Seri Anwar Ibrahim  dan dirinya kini bermain di padang yang sama rata untuk meraih kemenangan di Port Dickson.

“Kredibiliti saya sebagai pemain baru dengan pasukan yang baru yang masuk ke padang tanpa menghalau pemain di dalam padang, sudah pasti anak muda akan menyokong saya,” ujarnya yang merujuk kepada  kerusi PRK Port Dickson yang dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR itu.

Pas tidak perlu bertanding

Ahmad juga berkata sepatutnya Pas tidak perlu meletakkan calonnya di PRK Port Dickson. Ini kerana dengan berhadapan dengan calon bebas, PH dan PRM ia lebih melihat kepada keupayaan sebuah parti indipenden untuk melawan kerajaan PH.

“Minta Pas tarik diri daripada PRK Port Dickson biarkan saya bertanding dengan Anwar satu lawan satu.  Atas alasan PKR dan PRM bertanding satu lawan satu untuk  idiologi rakyat dan bendera merah,” ujarnya.

Biodata calon PRM

Nama:Ahmad bin Kamarudin

Umur:  42 tahun

Anak kelahiran Felda jengka

Pendidikan: Sekolah Menengah dan Diploma pengurusan Pengilangan

Kerjaya : Peniaga

Pengalaman Politik : 

1)Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Kapar 2011-2014

2) Pengerusi PRM Selangor

Jawatan Kerajaan dan NGO:

1) Pengerusi PeBT Majlis Perbandaran Klang (2009/2013)

2) Penasihat Pertubuhan Kebajikan Anak Muda Malaysia (hingga kini)