PRK Rantau: Azahari tetap tunai tanggungjawab mengundi walaupun lumpuh

PRK Rantau: Azahari tetap tunai tanggungjawab mengundi walaupun lumpuh

Walaupun lumpuh, seorang pesara polis tetap tidak melupakan tanggungjawabnya untuk membuat undi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau hari ini.

Azahari Latiff, 53, tiba di Balai Polis Rantau kira-kira 11 pagi dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) dibawa anaknya, yang mana beliau yang hanya mampu berbaring, terpaksa dibawa masuk ke bilik mengundi menggunakan kerusi roda khas.

“Tengok pada keadaan sekarang ini negara kita tak menentu, macam-macam tohmahan, macam-macam sikap perkauman ada jadi kita tunjuklah, jangan ada sikap perkauman dalam pilihan raya ini, undi tetap undi, jangan ada sikap macam itu.

“Daripada awal memang saya pasang niat tetap akan turun mengundi hari ini, tanggungjawab mengundi kena ada, saya tak sihat, terpaksa diusung, anak cuti jadi saya datang mengundi,” katanya ringkas kepada pemberita selepas selesai mengundi di sini  hari ini.

Azahari yang memegang jawatan terakhir sebagai Lans Koperal, mengalami lumpuh akibat terlibat dalam kemalangan 10 tahun lepas.

Proses pengundian awal bermula 8 pagi tadi di dua pusat pengundian masing-masing di Pangkalan Udara (PU) Sendayan dan Balai Polis Rantau.

PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan Dr S. Streram, calon Barisan Nasional iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua calon Bebas, suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin. – BERNAMA