PRK Rantau: Bekerjalah sebagai pasukan

PRK Rantau: Bekerjalah sebagai pasukan

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Aminuddin Harun mengesa kelima-lima nama yang dicalonkan PKR negeri ini bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau perlulah bekerja sebagai satu pasukan dan bukannya berjuang untuk kepentingan peribadi.

Beliau yang juga pengerusi PKR negeri itu berkata formula itu telah diguna pakai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas, terbukti berjaya.

“Kelima-lima nama ini tidak ada masalah bagi saya untuk mereka saling bekerja keras memastikan kemenangan PH. Jadi, mereka kena ingat mereka itu bekerja untuk diri sendiri ataupun untuk parti. Kalau mereka bekerja untuk parti, saya ucapkan ribuan terima kasih, tapi kalau hanya untuk diri sendiri, dia tidak akan ke mana.

“Jadi, ini yang kita buat pada pilihan raya umum lepas di mana apabila kita bekerja sebagai satu pasukan kita akan berjaya,” katanya kepada pemberita selepas Program TNB Bersama Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat di Dewan Orang Ramai Sikamat di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Perkhidmatan Pelanggan Bahagian Pembahagian TNB Negeri Sembilan Wan Ishak Soed.

Beliau yang diminta mengulas mengenai perebutan dalam kalangan beberapa pemimpin PKR  Rembau untuk menjadi calon PRK itu bagaimanapun berharap mereka yang tidak terpilih tidak akan berkecil hati dan bersama-sama membantu menggerakkan jentera merampas kerusi DUN berkenaan.

“Masing-masing boleh memberitahu aktiviti yang mereka jalankan kerana masing-masing sedang mempromosi ataupun berusaha meletakkan diri antara calon terbaik. Masing-masing ada pandangan sendiri dan semua boleh memberi pandangan masing-masing cumanya apabila kita menyampaikan sesuatu maklumat itu, ia harus tepat dan tidak ‘mengecilkan hati’ mana-mana pihak,” katanya.

Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau Dr S. Streram adalah antara lima nama yang dicadangkan PKR Negeri Sembilan sebagai calon PRK tersebut.

Aminuddin yang juga Menteri Besar berkata bagaimanapun keputusan akhir siapakah yang akan menjadi calon hanya ditentukan pucuk pimpinan pusat.

Pada 16 Nov lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya membatalkan kemenangan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan di kerusi berkenaan selepas hakim membenarkan petisyen yang difailkan calon PKR Dr Streram.

Pada hari pencalonan 28 April lalu, Mohamad diisytiharkan menang tanpa bertanding di kerusi itu selepas satu-satunya pencabar Dr Streram gagal menghantar kertas pencalonan kerana dilarang masuk ke pusat penamaan calon disebabkan ketiadaan pas Suruhanjaya Pilihan Raya.

Bagaimanapun, pada 29 Nov, Mohamad dilaporkan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya berkenaan.

— BERNAMA