PRK Rantau: Dapat 20 peratus undi Melayu PH boleh menang

PRK Rantau: Dapat 20 peratus undi Melayu PH boleh menang

Larut malam tadi, di bilik gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Bemban, sekumpulan jentera petugas Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sedang duduk berbual.

Lokasi PDM tersebut hanya dua kilometer dari tapak pasar malam Taman Angsamas yang ketika itu sedang hangat dengan Ceramah Perdana BN bersama kehadiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Di perkarangan markas PDM Kampung Bemban, gegantung kempen bagi calon PH, Dr. S. Streram yang terpampang dengan ungkapan “Doktor Seri Doktor Rakyat” ibarat dikerumuni bendera BN yang berlambangkan dacing.

Zainal Abidin Abd Wahid

Singgah di PDM itu, Malaysia Dateline mendapatkan reaksi daripada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau dalam panggilan mudahnya ketua kampung, Zainal Abidin Abdul Wahid.

Mengakui calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai pencabar sengit bagi PRK kali ini, Zainal tetap optimis PH masih boleh menawan Rantau.

Bagaimanapun, pertimbangan itu bergantung penuh pada sokongan pengundi Melayu ketika pemilih Cina dan India majoritinya dilihat terus setia kepada PH.

“Kita yakin untuk menawan Dun Rantau atau sekurang-kurangnya untuk meningkatkan jumlah undi. InsyaAllah PH boleh menang.

“Di Rantau ini, pengundi India dalam 30 peratus. Kalau undi Cina dapat 90 peratus, pengundi Melayu dapat 20 peratus pun, PH boleh menang.

“Tapi untuk menang dengan majoriti besar itu tidaklah mudah. Bagi kita di PH, lebih satu undi pun tetap menang. Itu sasaran kita,” ujarnya.

Mengulas pola keputusan PRK Parlimen Cameron Highlands di Pahang dan Dun Semenyih di Selangor yang menyaksikan tewasnya PH, beliau berpendapat PKR tidak kecundang lagi.

“Kalau nak ikutkan, PRK Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson, PKR belum kalah lagi.

“Yang tewas hanya Bersatu di Semenyih dan DAP di Cameron Highlands.

“Harapnya untuk Sabtu ini, Rantau akan jadi milik PKR sekali gus menyumbang kepada kemenangan PH,” ujar Ketua Cawangan Bersatu Kampung Bemban itu lagi.

Untuk rekod, PRK Dun Rantau adalah yang ketujuh selepas PRU-14, iaitu Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong, Port Dickson, Cameron Highlands dan Semenyih.