PRK Rantau: Keputusan tidak rasmi calon BN mendahului, lapor IDE

PRK Rantau: Keputusan tidak rasmi calon BN mendahului, lapor IDE

Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Kecil Rantau yang dianjurkan oleh Institut Darul Ehsan-IDE menunjukkan calon BN Datuk Seri Mohammad Hassan telah mendahului calon-calon lain.

Keputusan tidak rasmi itu sehingga jam 6.45 petang menunjukkan Mohamad mendahului dengan jumlah 3,153 undi manakala calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram dengan mendapat 1,369 undi, dua calon bebas iaitu Malar Rajaram dengan 14 undi manakala Mohd Noor dengan 25 undi.

Setakat ini jumlah majoriti memihak kepada Tok Mat adalah 1,784 undi. Keputusan itu disiarkan secara langsung di Facebook IDE.

Proses Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau tamat pada 5.30 petang dan tumpuan kini di di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, di sini untuk pengiraan undi.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), pakar bius Dr S. Streram, 60, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, 63, dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi, 51, serta bekas pensyarah Mohd Nor Yassin, 67.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

DUN Rantau dengan keluasan 15,960.74 hektar, mempunyai 20,926 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, empat orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebih 118 pengundi awal.