PRK Sandakan: Ahli parti yang bertanding calon bebas akan dipecat, kata SUA AMANAH

PRK Sandakan: Ahli parti yang bertanding  calon bebas akan dipecat, kata SUA AMANAH

Parti Amanah Negara (AMANAH) memberi  amaran  kepada ahlinya bakal berhadapan dengan tindakan tegas  Lembaga Disiplin parti itu sekiranya  mana-mana ahli berhasrat untuk menjadi calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada Mei depan.

 

Setiausaha Agungnya Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, AMANAH juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya menerima laporan yang menunjukkan bahawa terdapat ahli parti yang mencalonkan diri atau membantu kempen untuk menentang calon PH.

Beliau juga mengarahkan  seluruh anggota parti  memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Rentetan kemelut dalam PRK Dun Rantau lalu, AMANAH menjangkakan dua lagi ahli parti ini akan dipecat kerana kesalahan terlibat menentang calon PH atas kapasiti sebagai calon bebas dan pencadang.

“Keputusan untuk memecat keahlian itu dibuat selepas tempoh masa yang diberikan untuk mereka menjawab surat tunjuk sebab telah berakhir.

“Keputusan muktamad ini akan diumumkan oleh Lembaga Tatatertib parti pada bila-bila masa,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan tindakan calon bebas Mohd Noor Yassin  ahli  parti yang baharu menyertai AMANAH bertanding atas tiket calon  bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau lepas.

Menurut Anuar yang juga Ahli Parlimen Temerloh, tindakan tegas diambil kerana parti itu tidak boleh bertolak ansur dengan pelanggaran disiplin yang boleh mencemarkan nama baik parti.

“Sejak ditubuhkan, AMANAH sentiasa menekankan tentang disiplin yang perlu diberi perhatian penting oleh seluruh anggota parti.

“Sepanjang proses membuat keputusan dan mengenakan tindakan tegas ini, AMANAH tidak mengamalkan sikap pilih kasih atau pilih bulu terhadap ahli yang bermasalah memelihara kelangsungan dan keutuhan parti,” ujarnya.

Sebagai rekod AMANAH pernah memecat dua ahli parti yang yang menjadi calon bebas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Esok hari penamaan calon bagi PRK Sadakan.