PRK Sandakan diadakan 11 Mei depan

PRK Sandakan diadakan 11 Mei depan
Azhar Azizan menyampaikan watikah pelantikan kepada Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Mohamad Hamsan Awang Supain sebagai pegawai pengurus PRK Sandakan

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengumumkan 11 Mei depan sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, hari penamaan calon akan diadakan pada Sabtu, 27 April ini, manakala hari mengundi awal pada 7 Mei depan.

Beliau berkata, pihaknya akan menggunakan Dewan Aktiviti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hua, Sandakan sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

“SPR juga telah melantik Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Mohamad Hamsan Awang Supain sebagai Pegawai Pengurus PRK Sandakan.

“Seramai 770 petugas dilantik mengendalikan PRK ini, dan sebanyak 21 pusat mengundi yang mengandungi 92 saluran akan digunakan untuk kemudahan proses pengundian pada kali ini.

“Tarikh bagi permohonan undi pos luar negara dan dalam negara pula adalah pada 5 April (tarikh buka) dan 25 April (tarikh tutup),” katanya dalam sidang media pengumuman tarikh PRK Sandakan, di ibu pejabatnya, hari ini.

PRK Sandakan dijangka membabitkan kos RM3.1 juta, akan melibatkan 39,856 pengundi biasa, 270 pengundi awal dan lima orang pengundi tidak hadir luar negara.

Azhar berkata tempoh berkempen yang ditetapkan untuk PRK Sandakan adalah 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga  11.59 malam 10 Mei.

PRK Sandakan diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, 28 Mac lalu di Kota Kinabalu, Sabah.

PRK Sandakan merupakan PRK kelapan selepas PRU-14