Malaysia Dateline

PRK Semenyih: Calon BN buat laporan polis kain rentang provokasi

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih, Zakaria Hanafi membuat laporan polis ekoran kain-kain rentang berunsur provokasi yang digantung di sekitar Semenyih sejak pagi kelmarin.

Menurut Zakaria, beliau menyedari kehadiran kain rentang itu yang turut mengaitkan dirinya dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika bersarapan di pekan Beranang.

“Kami sedari banyak kain rentang di tepi jalan utama, bagi pihak saya, ini (kain rentang) melibatkan peribadi.

“Ini provokasi menyerang peribadi saya, kenyataan ini bukan saya buat. Saya pegang prinsip kita berkempen secara bersih dan sihat, gentlemen lah,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Semenyih hari ini seperti dipetik Kosmo.

Zakaria memberitahu, kain rentang itu turut didapati digantung di beberapa kawasan sekitar lain termasuklah Bandar Seri Putra, Batu Lima Bangi serta Seri Jenaris, Kajang.