Malaysia Dateline

PRK Semenyih: Peringatan buat PH supaya lebih kreatif, efisien sebagai kerajaan

Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Semenyih semalam harus dilihat secara positif kerana ia mempamerkan kematangan rakyat mengamalkan demokrasi di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Faiz Fadzil hari ini.

Jelas beliau lagi, kuasa sivil kini semakin tinggi di mana ianya akan mendesak kerajaan untuk menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

Malah kata Faiz, politik yang relevan kini bukan lagi politik ideologi sebaliknya politik massa di mana rakyat menilai model ekonomi yang mampu menyelesaikan masalah mereka.

“Komitmen PH bagi menyelesaikan masalah kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan rakyat bagi menguatkuasakan kuasa beli rakyat merupakan agenda utama menuju pilihan raya umum ke-15.

“Ia adalah satu ‘wakeup call’ kepada PH supaya lebih kreatif dan efisien sebagai sebuah kerajaan.

“Tidak dapat dinafikan oposisi memainkan isu perkauman sejak sekian lama dan ia bukannya alasan kekalahan PH, tetapi ia dapat diatasi sekiranya PH mampu menawarkan model ekonomi terbaik bagi menyelesaikan masalah rakyat secara langsung,” tegas beliau lagi.

Beliau juga berkata, walaupun PH baru memerintah dalam tempoh 9 bulan, tetapi ia gagal memanfaatkan peluang sebagai kerajaan untuk menyalurkan maklumat penting tentang pelaksanaan banyak polisi yang mendatangkan manfaat.

“Kementerian Komunikasi perlu diperkasakan bagi menyalurkan maklumat kepada rakyat mengenai polisi baharu yang telah dan akan disediakan oleh kerajaan.

“Pelbagai penyediaan program kebajikan kerajaan PH untuk rakyat perlu dipertingkatkan serta penggunaan media massa perlu diperkemaskan.

“Propaganda memainkan peranan penting dalam memahamkan rakyat tentang kebaikan kerajaan PH dan agenda perubahan yang sedang direncanakan serta dilaksanakan,” ujar Faiz lagi.

Tambahnya lagi, peranan cybertrooper perlu diangkat semula dan tidak diabaikan kerana mereka merupakan agen kempen utama PH sebelum ini.

Kata Faiz, strategi perlu diselaraskan dengan perubahan massa apakala media sosial merupakan medium komunikasi paling utama dan menjadi punca kekalahan kerana propaganda yang gagal disalurkan ke peringkat akar umbi.

“Jentera PH mesti diperkukuhkan serta pergolakan politik dalaman harus juga dihentikan.

“Mana-mana kerajaan baharu yang lahir sejurus revolusi akan mengalami situasi ketidakstabilan.

“Sehubungan itu semua pihak mesti bersatu d ibawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Mahathir sebagai PM kini dan memberikan fokus bagi penyatuan PH yang lebih utuh dan kukuh,” saran beliau.

Tegasnya, keputusan PRK semalam merupakan satu panggilan kebangkitan atau ‘wake up call’ kepada AMANAH yang dilihat masih gagam memanfaatkan peluang penyatuan Pas dan Umno.

“Ahli dan penyokong Pas yang tidak berpuas hati dengan halatuju baharu perlu dimanfaatkan bagi menyokong PH dengan kaedah yang lebih konkrit.

“Ketidakpuasan hati mereka perlu diterjemahkan dalam bentuk undi serta pendekatan kempen juga perlu diubah dan tidak lagi bergantung kepada strategi kempen konservatif seperti pemberian minyak percuma dan pertandingan sukan semata-mata.

“Strategi pilihan raya perlu berasaskan kepada kajian tempatan, siapa kumpulan sasar dan apa keperluan dan kehendak mereka,” katanya lagi.

Oleh kerana itu ujar Faiz, kreativiti pemimpin khususnya AMANAH dalam membawa idea yang lebih progresif amat penting sebagai sebuah parti yang relevan dengan politik arus perdana (mainstream) dan masa depan.