PRK Semenyih: PH perlu letak calon anak tempatan

PRK Semenyih: PH perlu letak calon anak tempatan

Pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu meletakkan anak tempatan sebagai calon bagi memastikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, kata Pengerusi PH Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan berkata selain itu, kriteria calon yang baik serta benar-benar layak mampu melonjakkan lagi sokongan pengundi kepada parti itu pada pilihan raya kecil berkenaan.

“Saya harap kalau calon dipilih nanti merupakan calon yang betul-betul bagus dan sudah pasti calon itu anak Selangor atau anak tempatan di Semenyih…itu lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Aminuddin yang juga Menteri Besar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai PRK DUN Semenyih yang akan diadakan dalam masa terdekat.

PRK DUN Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Penamaan calon PRK Semenyih ditetapkan Sabtu ini, manakala hari mengundi awal pada 26 Feb dan pengundian pada 2 Mac.