PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar, Amanah Melaka siap sedia gempur

PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar, Amanah Melaka siap sedia gempur

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Saya yakin pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan bersetuju untuk menghantar calon bagi menyertai Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar Jun ini.

Malah saya juga yakin bahawa calon yang mewakili PH nanti adalah dari Parti Amanah kerana kedua-dua kerusi tersebut adalah kerusi majoriti pengundi Islam dan Amanah adalah pilihan tepat sesuai dengan sifatnya sebagai Parti Islam.

Saya menyifatkan penyertaan Pas di dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar bukanlah satu kekangan untuk Pakatan Harapan kerana mereka tidak mendokong semangat pakatan pembangkang yang menjadi harapan rakyat. PAS juga tiada kaitan dengan PH.

Oleh yang demikian, saya dan kawan-kawan dalam Amanah Melaka telah membuat persediaan sejak awal lagi untuk menghadapi sebarang kemungkinan bagi menggerakkan jentera di setiap peringkat untuk bertugas di kedua-dua Parlimen tersebut. Ini telah dibuktikan pada Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini di mana jentera Amanah Melaka telah turun membantu calon-calon Amanah di Sarawak.

Jentera Amanah di semua peringkat telah bersedia dan hanya menunggu semboyan untuk menggempur PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Pakatan Harapan diwujudkan atas dasar kesedaran pentingnya sistem dwi parti melalui satu kesepakatan ampuh dalam menghadapi kekuasaan BN di negara ini. Keujudan pakatan atau blok lain adalah tidak relevan dan mereka bila-bila masa dipelawa untuk bekerjasama dengan PH.

Kesempatan PRK mesti diguna sepenuhnya oleh PH bagi menerangkan kepada rakyat betapa penting menolak Kerajaan BN yang bukan sahajaa gagal memerintah negara malah semakin hari semakin menindas rakyat.

PRK ini mesti dijadikan medan untuk memberi kesedaran kepada rakyat bahawa sistem dua parti adalah penting di mana ia boleh menjadi penyelesai kepada masalah rakyat. Jika rakyat memilih PH sudah tentu BN akan membuka mata dan berusaha untuk memperbaiki sistem pemerintahan mereka yang menyusahkan rakyat.

PRK ini juga menjadi medan bagi pimpinan PAS agar sedar bahawa tidak ada gunanya mereka besar kepala dan ingin duduk sendirian kerana ianya merugikan masa depan rakyat dan parti itu sendiri.

Mohd Sofi Abdul Wahab adalah Naib Pengerusi A,amah Melaka dan Pengarah Komunikasi dan Media Amanah Melaka

TAGS