PRK Sg Besar, Kuala Kangsar: Pas Pusat arah pemimpinnya kunci mulut

PRK Sg Besar, Kuala Kangsar: Pas Pusat arah pemimpinnya kunci mulut

Selepas banyak kenyataan dikeluarkan para pemimpin parti itu berhubung kesediaan bertanding di pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang dijadualkan 18 Jun ini, Pas Pusat mengarahkan pemimpin parti itu supaya ‘mengunci mulut’.

Arahan itu dikeluarkan Jawatankuasa Pas Pusat yang bermesyuarat malam tadi.

Keputusan itu diumumkan Naib Presiden Pas Datuk Iskandar Abdul Samad dan disiarkan suara rasmi Pas, Harakahdaily hari ini.

“AJK Kerja Pas Pusat malam tadi mengarahkan agar tiada kenyataan dikeluarkan oleh pimpinan Pas tentang PRK Sungai Besar atau PRK Kuala Kangsar sehingga satu kenyataan rasmi dikeluarkan,” ujar Iskandar.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor berkata, Pas negeri menghormati keputusan itu dan akan mengarahkan pemimpin dan ahli-ahlinya mematuhi arahan tersebut.

Sehubungan itu, tambah beliau, sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin Pas tentang PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah kenyataan peribadi dan tiada kena mengena dengan Pas atau Pas Selangor.

TAGS