Malaysia Dateline

PRK Slim: 22,749 layak tentukan siapa wakil rakyat

Seramai 22,749 pemilih berdaftar layak mengundi di Pilihan Raya Kecil Slim yang berlangsung hari ini bagi menentukan wakil rakyat mereka.

Pengundian yang berlangsung dalam kebiasaan baru ekoran penularan wabak COVID-19 membabitkan 12 pusat mengundi dengan 54 saluran yang dibuka mulai 8 pagi hingga 5.30 petang.

Daftar pemilih DUN berkenaan turut merangkumi 267 pengundi awal dan 78 orang mengundi secara pos.

Seramai 689 petugas dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengendalikan proses pengundian PRK DUN Slim, hari ini.

Sebanyak 12 pusat mengundi yang dibuka itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Sulaiman; SK Trolak Utara; SK Trolak Selatan; SK Seri Besout; SK Besout 3 dan 5; SK Kuala Slim; SK Slim River; SK Aminudin Baki; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungkai; SJKT Ladang Kelapa Bali dan SJKT Trolak.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, mewakili Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru S Santharasekaran.

Ketiga-tiga calon yang bertanding itu bagaimanapun tidak mengundi di DUN berkenaan.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim selama empat penggal, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dari BN yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.

Pada PRU14, Mohd Khusairi menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.