Malaysia Dateline

PRK Slim: 267 pengundi awal mengundi esok

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia mengumumkan seramai 267 orang anggota polis akan mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata, pengundian awal akan berlangsung pada esok di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim, Perak.

Beliau berkata, pusat pengundian awal akan dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

“Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada garis panduan pencegahan Covid-19 seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan dan saringan suhu badan akan dilaksanakan.

“Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang telah dilantik oleh SPR.

“Di samping itu, SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara live streaming menerusi Facebook SPR,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

PRK DUN N.58 menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua orang calon yang bertanding atas tiket Bebas.

BN mengemukakan Pemangku Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz manakala calon Bebas yang memakili parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air menamakan seorang peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon mereka.

Seorang lagi calon Bebas ialah Santarasekaran Subramaniam, 44 yang juga merupakan bekas guru di sebuah sekolah di Perak.

Sementara itu, Ikmalrudin memaklumkan, peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, 29 Ogos nanti di pusat pengiraan undi.