Malaysia Dateline

PRK Slim: 78 kertas undi pos telah dikeluarkan

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 78 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.58 Slim, Perak semalam.

Pengeluaran kertas undi pos bermula pada jam 2.30 petang dan dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di Pejabat Daerah dan Tanah Muallim, Slim River, Perak.

Kesemua 78 permohonan undi pos tersebut terdiri daripada 75 kategori Borang 1A (65 petugas pilihan raya dan 10 anggota PDRM), dua Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara dan satu permohonan undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara).

Sebanyak 68 sampul keutamaan telah diserahkan kepada pihak Pos Malaysia untuk dihantar kepada pengundi-pengundi terbabit manakala 10 lagi sampul keutamaan diambil oleh Pegawai Yang Bertanggungjawab (PYB) PDRM untuk diserahkan kepada anggota PDRM yang telah memohon undi pos.

Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil kepada calon bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Proses pengeluaran kertas undi pos bagi PRK DUN Slim ini telah disiarkan secara live streaming di Facebook SPR bagi meningkatkan lagi kefahaman masyarakat awam mengenai proses pilihan raya.

SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos, supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang pengisytiharan identiti (Borang 2) yang disertakan, serta segera mengembalikannya semula kepada Pegawai Pengurus PRK DUN N.58 Slim, Perak sebelum jam 5.00 petang pada hari mengundi iaitu 29 Ogos 2020 (Sabtu).

Pengundi juga diingatkan agar tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.

“Sekiranya perbuatan ini dilakukan, tindakan undang-undang akan diambil dan jika disabitkan serta didapati bersalah boleh dikenakan hukuman sewajarnya,” demikian menurut kenyataan Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak hari ini.