Malaysia Dateline

PRK Slim akan menyaksikan komitmen sebenar Umno dalam PN

Cadangan supaya Umno memberikan laluan kerusi Dun Slim kepada komponen lain dalam Perikatan Nasional, bakal menyaksikan sejauh mana komitmen parti Umno terhadap gabungan kerajaan itu.

Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim berkata, ianya merupakan satu cabaran kepada Umno yang diketahui sama sekali tidak akan beralah dengan rakan partinya, lebih-lebih lagi kerusi tradisi mereka sendiri.

“Ini terbukti melalui kenyataan terbaru Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajudin Abd Rahman yang jelas tidak akan melepaskan kerusi itu kepada sesiapa dan mahu Umno yang bertanding.

“Ini adalah manifestasi bagaimana mereka melayan permintaan-permintaan rakan parti mereka untuk PRU akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Semalam, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mengesyorkan BN memberi laluan kepada Pas atau Bersatu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Slim.

Pengerusinya, Asrul Henreng berkata, sebelum piagam Muafakat Nasional termeterai, Umno sendiri telah diberi laluan oleh Pas di Dun Sungai Kandis, Semenyih, Rantau dan Parlimen Cameron Highlands.

Justeru menurutnya adalah wajar kerusi PKR kali ini diberikan kepada Pas sendiri atau Bersatu.

Sementara itu, mengulas kenyataan itu, Khairol yang juga Ketua AMANAH Kawasan Tanjung Malim berkata, rakan parti PN hanya akan memendam rasa dan mencurigai keikhlasan satu sama lain dalam siri-siri rundingan kerusi mereka sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Di sini juga kita akan lihat bagaimana kekuatan Datuk Faizal Azumu sebagai Menteri Besar dan bagaimana layanan Umno kepadanya.

“Kita yakin, dia akan mengalah atau hilang sokongan dalam DUN nanti?,” soalnya.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, Mohd Khusairi Abdul Talib 15 Julai lalu.

Bagaimanapun pada PRU 2018, allahyarham mengekalkan kerusi itu dengan hanya 44.8 peratus undi apabila calon Bersatu memperoleh 33 peratus undi dan calon PAS memperoleh 22 peratus undi.