Malaysia Dateline

PRK Slim: ‘Kawasan lebih maju jika pembangkang menang’

Nga Kor Ming

Kawasan kubu kuat pembangkang terbukti berkembang lebih pesat pertumbuhan ekonominya walaupun kerajaan mendakwa sebaliknya.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menegaskan kawasan Slim akan bertambah maju sekiranya pembangkang lebih kuat dan menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim, 29 Ogos ini.

“Pembangkang menang tiada pembangunan, itu semua tipu sahaja. Tidak boleh percaya,” katanya dalam Ceramah Perdana PH membantu kempen PRK N.58 Slim bagi calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi malam tadi.

Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu berkata, Sitiawan adalah kubu kuat DAP tetapi ekonomi paling berkembang pesat di seluruh negeri Perak.

“Sitiawan kubu kuat DAP tidak pernah kalah. Sekiranya pembangkang lebih kuat, kawasan itu lebih maju.

“Presiden BN kata kalau pembangkang menang, Slim tidak ada pembangunan. Ini tipu!

“Dalam sejarah Perak dan di seluruh Malaysia, DAP ada satu kawasan yang tidak pernah kalah iaitu Dun Sitiawan.

“Sitiawan kawasan kuat pembangkang, tidak pernah kalah sejak tahun 1957 tetapi kawasan itulah juara pertumbuhan ekonomi paling maju di seluruh Perak.

“Bukan Ipoh, bukan Teluk Intan tapi Sitiawan. Itu buktinya. Jika pembangkang menang kerajaan akan taruh lebih banyak duit lagi untuk buat pembangunan demi memenangi hati rakyat,” tegasnya.

Satu kawasan lagi kubu pembangkang, jelasnya, ialah Bukit Bintang di Wilayah Persekutuan yang juga menyaksikan pembangunan paling pesat.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu juga menempelak jaminan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menyelesaikan masalah banjir yang berlaku di kawasan Slim.

“Bukan hari ini masalah banjir baru berlaku. Sudah lama. Duduk pegang jawatan buat apa? Menang, mengapa tidak buat kerja? Itu soalnya,” tegas Kor Ming lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar 23,094 pengundi Slim memberikan kemenangan kepada calon logo pokok nombor satu, Amir Khusyairi yang dianggapnya sebagai pohon Musang King.