Malaysia Dateline

PRK Slim: Tidak setuju bersama Umno, pengundi Pas dijangka undi protes

Sebahagian besar Pengundi Pas berpotensi tidak akan keluar menyokong calon Barisan Nasional (BN) pada hari mengundi Sabtu ini, sebaliknya mereka akan menyokong calon dari blok Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara tersebut jelas dilakukan sebagai tanda protes akar umbi Pas yang tidak bersetuju dengan gabungan kerjasama parti itu bersama Umno dalam kerajaan.

Menurutnya, masih ada akar umbi Pas yang berasa tidak senang dan gembira dengan kerjasama yang dijalinkan bersama parti kleptokrat yang ditentang mereka dahulu.

“Ini kali keempat saya datang, secara umumnya kita lihat penyokong-penyokong Pas dari generasi umur 50 tahun ke atas, banyak memberikan sokongan yang jelas kepada Amir.

“Hari ini mereka memberikan komitmen memberikan undi kepada Amir. Mereka walaupun tak isytihar keluar daripada Pas kerana faktor-faktor tertentu tapi mereka tak senang dan gembira dengan perkembangan Pas yang bersama dengan umno, menyokong parti kleptokrat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi ramah mesra pimpinan AMANAH bersama media sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad; Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Asmuni Awi; dan Pengerusi AMANAH Melaka, Adly Zahari.

Sementara itu, Salahuddin berkata pilihanraya kali ini akan menjadi kayu ukur terhadap penerimaan penyokong tegar Umno dan Pas.

Bekas pemimpin kanan Pas itu berkata, sepanjang pengalamannya menyertai parti tersebut, penyokong Pas tidak akan sesekali mengundi BN, dan pengundi BN juga tidak akan boleh menyokong calon Pas.

“Menariknya kita akan melihat bagaimana pilihanraya ini dijadikan sbegai ‘test the water’ bagi penyokong tegar Umno dan Pas.

“Fitrah penyokong Pas ini dia tak boleh sokong Umno. Umno pun sama, penyokong tegar mereka tak boleh dengan Pas.

“Jadi ini test dia. Saya yakin akan ada penyokong tegar Pas yang berada di bawah tak akan undi BN,” katanya lagi.

Beliau juga berpendapat, keputusan PRK Dun Slim ini akan menentukan corak sokongan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.